Iklan

Memaparkan catatan dengan label Panduan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Panduan. Papar semua catatan

Jumaat, Julai 10, 2009

Cicak, Anak-Anak dan Malam Jumaat

Semenjak kebelakangan ini, kerap pula cicak di rumahku keluar dari pusat persembunyiannya. Apakah kerana mereka sudah dewasa? Apakah kerana aku selama ini buat tidak endah kehadiran mereka, mereka jadi kurang ajar?

Hampir enam tahun mendiami rumah ini, cicak-cicak mula berani menunjuk muka, menjalari dinding dan siling rumah. Dan anak-anakkulah yang terlebih 'excited'nya, hinggakan tidak mahu turun dari kerusi, menunjuk-nunjuk cicak di dinding.

Suruh tidur pun mahu berteman. Takut barangkali, cicak datang merayap ke badan tatkala dia tidur sendirian.

Kakak, kakak kan dah besar. Siapa lagi besar, kakak ke cicak.

Kakak lagi besar.

Sekali kakak tampar cicak tu, terus dia mati.

Ha'ah, cicak tu kecik aje.

Dah, babah nak sembahyang.

Tak nak! Nanti cicak tu tuwon (turun)

Hmph...



Macamanalah aku nak kasi mati cicak-cicak ni?

Dulu, masa kanak-kanak, kami buat lastik besar, guna menembak cicak-cicak di siling surau. Aktiviti mula lepas baca Yaa Sin, pada malam Jumaat. Malam Jumaat malam cuti mengaji. Sementara menunggu Isya', cicak-cicaklah yang kami hadap.

Kadang-kadang terasa kejam pula. Bukankah cicak juga makhluk Tuhan? Bukankah cicak tolong kurangkan bilangan nyamuk dan serangga-serangga lain.

Tapi, siapalah kita untuk menentukan yang zahir, mahupun yang batin. Sedang yang nyata terlihat tidak terketahuan benar atau lakonan, inikan pula yang masih belum tersingkap rahsianya.

Mungkin saintis Islam boleh kaji, kenapa agaknya Nabi suruh kita bunuh cicak. Mudarat sangatkah haiwan ini?

Hadis 2094 jilid 4 Muslim
Dari Amir bin Saad dari bapanya (Saad bin Abi Waqasy) r.a. katanya "Sesungguhnya Nabi s.a.w. Telah memerintahkan supaya membunuh cicak dan baginda menamakanya Si Penjahat Kecil -- Fuwaisiqan."

Hadis 2095 jilid 4 Muslim
Dari Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. bersabda "Siapa yang membunuh cicak satu kali pukul ditulis baginya pahala seratus hasanah. Siapa yang membunuhnya dua kali pukul, pahalanya kurang dari itu. Dan siapa yang membunuhnya tiga kali pukul, pahalanya kurang lagi dari itu”

Petikan hadis diambil dari sepaku.net.

Khamis, Jun 18, 2009

Saya ingin jadi PENULIS?

Dulu, masa zaman sekolah dulu, menjadi Penulis merupakan salah satu impian saya.

Tapi, saya tidak belajar untuk jadi penulis. Sangka saya, menulis itu sekadar mengeluarkan apa yang terlintas dalam fikiran. Menceritakan apa yang tergambar, menerangkan apa yang terucap, dalam hati.

Rupanya, itu cuma menulis, belum sampai tahap Penulis.

Dua tiga kali saya cuba, masih belum selesai usaha memaparkan penuh cerita yang ingin dicipta. saya belum berjaya menjadi Penulis... Itu sangkaan saya.

Oh, hari-hari pun saya menulis juga rupanya.

Laporan ini, kertas cadangan itu... Semua kena hantar, boss nak tengok dan baca. Kemudian simpan dalam fail. Nanti, kalau ada sesiapa yang ingin buat rujukan, akan baca laporan yang saya tulis. Saya dibayar gaji untuk menyediakan tulisan-tulisan itu.

Tapi saya bukan Penulis! Bahan teknikal yang saya tulis memang keperluan kerja saya dalam bidang pengurusan jaminan kualiti. Banyak menulis bukan bermakna saya Penulis...

Mungkin, suatu hari nanti...

Sebelum tu, nak cari, seni-seni menulis.

Isnin, Disember 01, 2008

Hanya 6 daripada 200 - AWAS ibubapa di Pulau Pinang

Ini dari The Star


Published: Monday December 1, 2008 MYT 9:29:00 AM
Most pre-schools, nurseries in Penang don’t have
permits

By NG SU-ANN

GEORGE TOWN: Only six out of 200-odd
kindergartens and nurseries in Penang have operating permits, said Penang
Health, Welfare and Caring Society Committee chairman Phee Boon Poh...
Kalau cuma enam yang ada permit, apa jaminan yang menunjukkan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri mengawasi operasi pusat-pusat jagaan kanak-kanak yang selebihnya. Entah-entah, yang enam itu pun tidak diperiksa secara berkala.

Oops... Sekejap! Berita tu cerita pasal permit apa? Permit berniaga atau permit operasi tadika dan/atau pusat jagaan kanak-kanak?

Macamnya, cuma 'quick rent' (cukai tanah/pintu) saja yang dipertekankan. Bayar cukai komersial, bukan sekadar cukai kediaman! Maklumlah, kebanyakan tadika dan pusat jagaan kanak-kanak beroperasi di bangunan rumah yang lebih tenteram dan bukannya rumah kedai yang sibuk dengan aktiviti ekonomi manusia.

Tapi, takkan lah cukai itu yang jadi berita besar. Itukan boleh bincang kemudian. Yang penting, keselamatan anak-anak yang diamanahkan ke situ...

Kalau setakat 200 pengusaha, tidak sampai puluh juta pun quick rent yang dapat dikutip. Entah-entah, tidak mencapai angka juta. Ahh, sekelumit sangat berbanding pendapatan negeri secara keseluruhan.

Sepatutnya, permit operasilah yang patut di'berita'kan. Bilangan pekerjanya cukup, semuanya kompeten dan terlatih untuk menjaga anak kecil. Bangunannya dijamin selamat dan cukup luas mengikut syarat minima yang ditetapkan. Ada pengesahan Bomba. Ada latihan kecemasan dan prosedur menghadapi kecemasan. Err, apa lagi yaa...

Kalau 97% tidak ada permit operasi... Hah! Selemah itukah tahap kesedaran rakyat Pulau Pinang Malaysia?

Mungkin juga orang Malaysia tidak suka berleceh-leceh. 'Kengkawan hantar anak ke situ okay je, I pun hantar situ jugak laa...'

Betapa tamaknya pengusaha tadika dan pusat jagaan kanak-kanak. Ohh... Itu semua desakan perniagaan. 'Kos laa, kalau I buat semua tu, harga kena naik. Nanti pelanggan I lari...'

Ya, malang tidak berbau. Mengapa perlu ambil mudah, kalau sebenarnya kita boleh elakkan kemalangan dari berlaku. Apakah ada di antara ibu bapa di Pulau Pinang yang mahu mengalami nasib ibu bapa adik Adik Abrahaem Noah? Hush!

If you think safety is expensive, try accident!

Apa-apa pun, sudah tiba masanya kita berubah. Kalau sebelum ini, ada gelombang kesedaran politik yang dapat mencorak peta politik Malaysia, mengapa tidak kita teruskan perubahan. Buang tabiat 'Tidak Apa!' yang ada dalam masyarakat kita...

ps: termasuklah 'tidak apa' kita ditadbir oleh pegawai daerah pentadbir yang tidak kita kenali dan mungkin tidak peduli pasal kita.

Khamis, November 27, 2008

Musim Haji Datang Lagi (iii)

Sambung semula. Last post: Nov. 4, uih, lebih tiga minggu terlewat.

Oops, jangan tertipu. Ini gambar sesudah musim haji tahun lalu, bila majoriti jemaah haji sudah pulang ke negara masing-masing.

PERSEDIAAN JASMANI

Tidak dapat dinafikan, ibadah haji menuntut kekuatan fizikal dan mental. Dengan orang berduyun-duyun, dengan cuaca panas terik, dengan kedudukan satu tempat ke satu tempat yang agak jauh - jemaah haji perlu juga mempersiapkan kekuatan jasmani.

Yang terlebih berat badan; kurang-kurangkan, takut cepat termengah-mengah, sakit kaki, sakit sendi. Yang kurus tak bertenaga pula; eloklah tambah pengambilan kalori, buat bersaing dan berlumba mengejar saf pertama.


Gambar-gambar berikut, chilok ehsan dari en. kamitaken

Ini gambar di luar al-Haram. Melimpah ruah jemaah. Tapi sebenarnya, memang ramai jemaah yang sengaja memilih untuk bersembahyang di luar masjid. Kalau masuk dalam, masih ada ruang. Ikut kemahuan dan rezekilah.


Ini pula lorong dari hotel-hotel menuju ke al-Haram. Setaip kali, sejam sebelum masuk waktu sembahyang, beginilah keadaannya. Berjejal-jejal orang berbondong-bondong menuju ke masjid. Dah sudah sembahyang lain pula ceritanya. Berduyun-duyun pula keluar, sambil menyinggah membeli-belah. Itu belum kira lagi penjaja haram tanpa lesen dan peminta sedekah yang bersepah menghalang laluan.


Bukanlah perlu berlatih bersungguh-sungguh macam hendak bertanding sukan. Cukuplah sekadar sihat dan kuat tubuh badan untuk menyahut cabaran haji. Tidaklah nanti, dalam orang lain berebut-rebut beribadah, kita pula memilih untuk berehat di bilik. Tidakkah rugi, sedang belanja biaya yang diinfak bukan sedikit.

Yang kurang sihat pula, kalau perlu mengambil ubat, janganlah lupa dengan keperluan jasmani. Bagi yang perlu menjalani hemodialisis, hospital kerajaan di Mekah dan Madinah menyediakan kemudahan hebat, selesa dan percuma. Tapi musim haji, tentu penuh sesak.

Satu faktor lagi yang tidak boleh gagal untuk diambilkira, pohonlah kekuatan, kesihatan dan kemudahan dari yang menjemput kita bertandang ke Rumah-Nya. Kalau Dia nak bagi, yang lumpuh pun boleh berjalan. Janganlah lupa untuk meminta. Dia memang Maha Pemurah dan Maha Memberi.

Ila liqa', ma'a salaamah...

Rabu, November 26, 2008

ATM di Arab Saudi

Samba apa saja... Oops, Saudi American Bank

Saudi France Bank... eh, eh, bank asing lagi?

Bersiar-siar di Arab Saudi, pasti terserempak pondok-pondok kecil (kiosks) sebegini. Ada yang jual air, ais krim, makanan segera dan, seperti yang ini, mesin pengeluar wang automatik.

Berurusan juga mudah, cuma pandu lalu. Al-maklumlah, di sini panas, dan orangnya pula malas-malas, jadi tak perlulah keluar kereta untuk membuat urusan kecil. Tak perlu cari parking. Keselamatan pun lebih terjamin.

Kalau keluar wang, minima SR100. Kalau di Malaysiakan, boleh keluar RM10, terutamanaya bila hujung bulan dananya sudah susut. Masa belajar dulu, sekali keluar RM20 atau RM30, tahan seminggu dua. Tapi sekarang, RM10 boleh buat beli apa ya? Bolehlah makan tengahari sekali, campur minum petang barangkali.

Maksimanya SR5000. Di ATM Malaysia, maksima pengeluaran satu transaksi cuma RM1000, atau RM1500 untuk bank-bank tertentu. Nak keluar RM5000, kena buat empat lima kali. Penat orang belakang tunggu. Hmmm... Tapi elok juga, kalau kad dicuri orang (berserta pinnya), payahlah dia nak keluar banyak sekali harung).


ATM kena bom? Ni kat Pucong.

Yang bagusnya ATM terbuka begini, orang susah nak rompak atau pasang bom mercun. Mana taknya, kalau nak buat jahat, semua orang yang lalu lalang, atau yang berkerja berhampiran boleh nampak. Belum sempat buat apa-apa, polis sudah mari. Itu belum masuk CCTV yang memang terpasang.

Cuma itulah, kalau hujan dan angin kuat, tentu basah mesin tu. Kenalah buat water proofing pula. Tapi rasanya, kalau bank-bank Malaysia nak buat konsep begini pun elok juga. Kurang sikit risiko ATM dibom.

Apa-apa pun, di Arab Saudi ni, hukuman pencuri potong tangan. Mungkin kalau Malaysia laksanakan hukum serupa, orang nak mencuri fikir beratus-ratus kali sebelum buat.

Lu fikir-fikirlah sendiri... pinjam ayat siapa ni, ek? ☺

Selasa, November 04, 2008

Musim Haji Datang Lagi (ii) b

... sambungan dari kiriman lalu


Di pinggir Masjid Quba'

Dataran Masjid Nabi - penuh sesak bila Sembahyang Jumaat

PERSEDIAAN MATERIAL (HARTA BENDA)

Bila bicara tentang persediaan kebendaan, tidak boleh tidak, kita kena beringat tentang pakaian. Dan bila berpakaian, di samping menutup aurat, perlulah ia melindungi badan kita dari cuaca.

Sewaktu saya menulis ini, waktu di Madinah ialah 11.00 pagi. Suhunya 19°C, agak mendung dan kebarangkalian hujan adalah 20%. Saya bukan di Madinah, saya lihat ramalan cuaca di Google (kata carian 'madinah weather'). Di Mekah juga mendung. Suhunya 27°C, agak sesuai dengan orang Malaysia.

Menjelang bulan 12 dan 1 nanti, suhu di Madinah akan turun sekitar 10°C. Ini suhu yang akan buat kulit kita kebas, telinga seakan hilang dan jemari terasa kecut. Kesejukan akan sangat terasa selepas tengah malam sehingga ke waktu dhuha. Walaupun matahari sudah terang, sejuk masih terasa, kerana angin gunung yang bertiup. Selain jaket, elok juga kalau ada shawl, dapat mengurangkan kesan sejuk dan angin.

Sarung tangan dan ear muff atau snow cap juga elok untuk melindungi anggota badan terbabit. Kalau tak mahu bawa, boleh saja beli di Madinah. Tidaklah mahal sangat. Lepas guna, boleh terus sedekah kepada orang lain. Maklumlah, cuma di Madinah saja yang dinginnya seakan mencengkam.

Udara pula kering. Kalau tidak tahan, kulit akan terasa gatal-gatal. Perlu banyak minum air dan jus untuk mengekalkan kandungan air dan electrolytes badan. Untuk mengurangkan kesan kulit kering dan mengelakkan kegatalan, saya suka guna petroleum gel (contohnya vasoline), kurang kesan alahan. Losyen yang dijual di sini, walaupun jenama Johnson & Johnson, tidak sesuai dengan kulit saya.

Kadang-kadang, ribut pasir melanda. Partikel habuknya sangat halus dan merbahaya untuk kesihatan paru-paru kita. Wajib guna topeng udara jika perlu keluar bilik.

Selalunya, cuaca di sini cerah. Walaupun udara dingin, matahari tetap memancar terik kerana ketiadaan awan. Untuk jaga kesihatan mata, elok juga guna cermin mata gelap dengan penapis UV. Awas, jangan guna yang tiruan. Ia akan menjejaskan kesihatan mata dengan lebih teruk.

Lebih baik tidak pakai sunglasses daripada pakai yang palsu. Kenapa? Anak mata kita akan mengecil bila terang, jadi kuranglah sinaran UV yang memasuki mata. Dengan sunglasses, kita tidak silau, dan anak mata kita juga tidak mengecil. Tanpa penapis UV, jumlah sinaran UV yang memasuki mata kita akan jadi berganda.

Apa-apa pun, tumpuan perlu diberi kepada ibadah yang dilakukan. Anggaplah segala kesusahan yang dihadapi sepanjang perjalanan sebagai ujian penguat iman dan keyakinan. Selamat menziarahi Nabi dan sahanat-sahabatnya.

Peringatan: Jika anda mahu membawa bahan-bahan dalam bentuk cecair atau gel (seperti minyak wangi, losyen, krim mandi dan seumpamanya) pastikan ia dimasukkan ke dalam checked-in luggage. Jika hand carry, ia tidak boleh melebihi satu liter keseluruhannya dan perlu dimasukkan ke dalam beg plastik lutsinar khas yang boleh didapati dikaunter pertanyaan lapangan terbang atau tanyakan pegawai Tabung Haji yang bertugas. Boleh lihat panduan di sini.

Jumaat, Oktober 31, 2008

Musim Haji Datang Lagi (ii)

PERSEDIAAN MATERIAL (HARTA BENDA)

Dalam banyak-banyak persediaan untuk pergi haji, barangkali, inilah persediaan yang paling mudah. Mudah kerana semuanya boleh dilihat, boleh dipegang, boleh dicongak. Yang penting, cukup ongkosnya.

Cukup tambang
Apa-apa pun, faktor inilah yang sering jadi penentu. Kalau tidak cukup wang tambang - pergi dan balik - tentulah tidak dapat peluang menunaikan haji. Sumber wang inilah yang perlu diperhatikan. Kalau mahu haji bersih, sumber wangnya pun perlulah bersih.

Cukup bekal dan wang saku
Ini juga mustahak. Manakan tahu, jika tiba-tiba ada keperluan yang mendesak. Tidak perlulah bawa tunai banyak-banyak. Saudi Riyal (SAR) pun bawa sekadar perlu. Apatah pula RM atau USD. Jika mahu mudah, gunakan kad ATM atau kad kredit
  • Al-Rajhi - boleh digunakan di ATM Al-Rajhi Saudi, atau
  • HSBC - boleh digunakan di ATM SABB (nama berbeza, tapi logo serupa), atau
  • kad yang ada CIRRUS atau PLUS - boleh digunakan di mana-mana ATM yang ada tanda perniagaan tersebut, atau
  • Kad Kredit - pastikan anda mendapat kebenaran untuk membuat transaksi di luar negara dari penyedia khidmat. Jika tidak, kad anda tidak boleh digunakan di sana.
  • Tabung Haji memang menyediakan kemudahan pengeluaran wang, tetapi kemudahan agak terhad (seperti pada waktu dan di premis tertentu sahaja).
  • Penting - Sesetengah mesin ATM tidak menerima urusniaga selepas pukul 12.00 malam waktu Malaysia (7.00 malam waktu Saudi).
Bawa bekal yang cukup ini bukan untuk apa, cuma untuk kita lebih tenang beribadat di sana. Tidaklah terganggu penumpuan bila tiba-tiba terpaksa mengeluarkan belanja untuk urusan yang muncul mendadak.

Cukup saraan untuk tanggungan
Ini pun kena ingatlah juga. Tak mahulah nanti, sedang mahu niat saei, bibik di rumah telefon, susu anak habis. Huh...

Apa-apa pun sebenarnya, pohonlah kecukupan dari Allah. Allah yang menjemput kita bertandang ke Rumah-Nya. Dialah yang mencukupi segala keperluan kita. Duit banyak mana pun, kalau Allah kata tak cukup, tak cukuplah kita.

Semoga Allah mencukupkan segala keperluanku sekeluarga, dunia dan akhirat. Ameen.

... bersambung.

Musim Haji Datang Lagi (i)

Musim Umrah (bulan 5) yang lalu, al-Haram sudah penuh. Musim haji kelak, pasti lebih sesak

Tahniah untuk anda yang bakal menunaikan fardu haji tahun ini. Banyak persediaan yang perlu dibuat sebelum sesuatu perjalanan. Apatah lagi jika perjalanan itu melibatkan aktiviti tertentu, di tempat tertentu dan pada waktu yang terhad pula. Itulah haji, bukan satu perjalanan tangkap muat sahaja.

Saya bukanlah orang yang layak untuk menulis tentang haji, tetapi setahun lebih berada di Jazirah Arab membuatkan rakan-rakan mengira, saya sudah cukup tahu untuk menitipkan sedikit sebanyak panduan ketika berada di Tanah Suci ini. Baiklah, apa yang saya tahu, saya kongsilah di sini. Harap-harap, ramailah lagi yang dapat mengongsi pengalaman mereka.

Bermulanya Syawal sebulan yang lalu menandakan bermulanya musim haji untuk tahun ini. Jemaah haji dari serata dunia mulai meninggalkan kampung halaman menuju ke Rumah Allah. Berjuta-juta umat akan berkumpul di sini. Banyak orang , banyaklah ragam. Yang penting, ragam kitalah yang perlu kita jaga dan selia, supaya haji tidak jadi sia-sia.

Untuk mempastikan ragam dan mood kita sejajar dengan matlamat ibadah, eloklah kalau perkara-perkara berikut kita ambilkira:

  1. Persediaan material (harta benda)
  2. Persediaan fizikal (jasmani)
  3. Persediaan emosi (nafsu)
  4. Persediaan ilmu pengetahuan
  5. Persediaan rohani (spiritual)
Wahh! Banyaknya persediaan yang perlu dibuat. Benarlah, Islam itu agama yang syumul. Semua aspek diri terangkum dalam persediaan haji. Itu belum hajinya lagi. Elok juga kalau baca Travelog Haji dari PTS karya Dr. Muhd. Kamil Ibrahim. Pasti banyak panduan dan teladan.

Untuk sekalian haji dan hajah - Selamat Beribadah!

Akan datang: Persediaan material (harta benda)