Iklan

Memaparkan catatan dengan label Santapan Perut. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Santapan Perut. Papar semua catatan

Sabtu, September 20, 2008

Uh, Uh, Najib Tunda Lawatan ke Arab Saudi

Abe Najib kita dah jadi Menteri Kewangan sekarang. Baru sangat porfolio tu, nak kena stadi, nak kena jenguk itu ini.

Majlis bersahur tu pun tak tau apa jadi. Mungkinkah diteruskan, mungkinkah ditundakankan juga. Minta maaflah untuk semua. Tarikh pun belum ketahuan lagi.


Najib perjelas penangguhan lawatan ke Arab Saudi
Sep 20, 08 6:18am
Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan bahawa beliau menangguhkan lawatannya ke Arab Saudi yang sepatutnya bermula semalam sehingga Ahad ini disebabkan beliau perlu menyusun semula jadualnya bagi membolehkannya memulakan tugas sebagai menteri kewangan Isnin ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata penangguhan itu tidak ada kena mengena dengan senario politik dalam negara.

"Lawatan saya tidak dibatalkan, cuma saya menyusun jadual saya supaya saya dapat masuk ke Kementerian Kewangan Isnin ini dan memulakan tugas saya terutama sekali dalam keadaan di mana ekonomi dunia dan pasaran saham dunia yang tidak menentu.

"Kemungkinan ada perkembangan tertentu di peringkat dunia atau global yang memberi kesan kepada ekonomi negara dan bursa saham negara kita," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian zakat bagi Parlimen Pekan semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penangguhan lawatannya ke Arab Saudi yang sepatutnya bermula hari ini yang antara lain atur caranya itu ialah merasmikan hotel apartment dan restoran milik Felda di Mekah, demikian dilaporkan oleh Bernama.

Najib berkata beliau perlu mendapatkan maklumat terkini daripada Kementerian Kewangan, Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Saham Malaysia dan Bank Negara Isnin ini bagi menentukan sebarang keputusan mengenai keadaan ekonomi negara.

"Saya perlu mendengar perkembangan terkini daripada Kementerian Kewanagan termasuk Suruhanjaya Sekuriti, Bursa Saham Malaysia dan Bank Negara dan untuk menentukan apa-apa keputusan yang perlu dibuat untuk meredakan keadaan semasa," kata Najib.

Rabu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan jawatan menteri kewangan kepada Najib, manakala Abdullah mengambil alih portfolio menteri pertahanan daripada timbalannya itu.

Bagaimanapun Najib berkata program beliau ke New York dan Washington bagi menghadiri Perhimpunan Bangsa Bersatu (PBB) akan diteruskan.

"(Program ke Arab Saudi) ditangguhkan, tapi saya terus ke New York dan Washington, dalam perjalanan balik saya akan buat umrah dan buka (rasmi) restoran Felda di Mekah," kata Najib.

Ditanya perancangannya sebagai menteri kewangan bagi menghadapi krisis ekonomi dunia ketika ini, Najib berkata: "Elok saya buat (kenyataan) pada Isnin nanti selepas dengar taklimat lebih khusus lagi," katanya.

Bagaimanapun Najib berkata apa yang dibentangkan Abdullah semasa Bajet 2009 yang berkaitan dengan kepentingan rakyat akan tetap diteruskan dan apa-apa perakuan yang dibuat dalam Belanjawan Negara yang berkaitan kepentingan rakyat akan dilaksanakan.

Selasa, September 16, 2008

Jemputan Bersahur di Hilton Jeddah


Untuk rakan-rakan yang beragama Islam, dijemput bersahur di Hilton Jeddah pada Sabtu, 20 September 2008, jam 11.00 malam.

Saya cuma memanjangkan jemputan. Yang menjemput dengarnya TPM kita, Dato Sri Najib. Ahh, dua-tiga tahun sudah pun dia ada buat juga majlis bertemu rakyat di Jeddah ni.

Macamana nak ke sana? Jangan tanya saya, tanya Encik Google Al-Map.

Sabtu, Julai 26, 2008

Kisah Lembu & Kambing

Satu petang di bulan Puasa, Haji Syin (bukan nama sebanar) pergi ke restoran (mat'em; e~ain) Turki yang menjual pelbagai makanan ala Timur Tengah. Dipandangnya daging yang sedang disalai (seakan daging untuk pita kebab di pasar-pasar malam Malaysia). Sedap sungguh. Terkecur air liurnya SAMA seperti minyak daging yang menitik ke bara.

Ada tiga jenis daging yang sedang disalai. Yang putih dan agak cerah tentulah ayam. Yang gelap itu ada dua. Entah yang mana lembu, yang mana kambing.

Haji Syin tanya dalam bahasa Inggeris. Tukang masak tu geleng kepala, tanda tidak faham. Dia malah berbicara dalam bahasa Arab pekat, menerangkan itu ini.

Haji Syin jadi pening. Hendak pesan makanan pun sukar juga rupanya, bila tidak tahu 'bahasa'. Hendak order ayam, dia sudah muak. Tersalah order kambing, dia alah. Tapi, daging lembu yang mana satu?

Terlintas di fikirannya, mengapa tidak guna bahasa universal...

"Haza moooooo...", ujar Haji Syin sambil meletakkan dua tangan di kepala, gayakan tanduk lembu metador. "...or haza mbek ek ek?", sambil letak dua telunjuk di dahi, tanda tanduk kambing yang lebih kecil.

Tukang masak Turki itu tersenyum lantas menunjuk ke arah salah satu daging, "Haza moooooo...", tirunya, bersekali dengan gaya tanduk. "...wa haza mbek ek ek?"

"Khalass, ateni MOOOOOO ma'a ruzz, wahid..."

Kami yang dengar cerita ini dari Haji Syin kemudiannya, tidak tahan, hampir pecah perut ketawa.

ps: waktu itu, haji syin baru sebulan dua di jeddah. sekarang dia sudah mahir memesan makanan :-)

Nota:
lahm - daging (biasanya merujuk daging kambing)
baqr - lembu
dajjaj - ayam
ruzz - nasi
haza - ini
ateni - berikan saya

Jumaat, November 30, 2007

Idahm Samak al-Saudiah (Kari Ikan Saudi) & Kuih Ma'amul (Makmur?)

Hari ini, setelah sekian lama mencari bumbunya, kami dapat merasa kari kepala ikan masakan sendiri. Perencah kari ikan dikirim oleh isteri Rosli melalui rakannya Jamil yang tiba dua hari lalu. Masak sendiri tentulah tidak serupa masakan isteri, apatah lagi masakan ibu. Resepi kari ini mudah saja. Kari orang bujanglah katakan (sesuai untuk hidangan 4-5 orang);

Seekor ikan (apa namanya entah, macam ikan gerut-gerut) berat satu 1.4 kg (harga SR20 sekilo, dibeli di pasar Danube)

Bawang putih enam ulas, bawang merah 8 ulas (dua ulas bawang putih dan tiga ulas bawang merah dimayang/ricih untuk tumisan)

Halba campur rempah yang entah apa-apa entah

Serbuk Kari Ikan Adabi kiriman isteri Rosli 4 sudu besar, serbuk cili 1/2 sudu
Asam jawa setengah genggam (lelaki dewasa)
Santan kelapa dua paket (bancuh dengan dua cawan air suam)
Sayur; tomato, terung dan bendi (kecil-kecil di sini, besar 2 ruas jari kelingking)
Bawang besar seulas, cili merah 3 tangkai Minyak, Garam. Gula sesedap rasa

Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan bawang merah yang diricih sehingga naik aroma. Masukkan halba dan rempah lainnya. Kisar bawang-bawang selebihnya. Guna air asam jawa semasa mengisar. Gaulkan dengan serbuk kari dan serbuk cili. Tumis sehingga terbit minyak. Masukkan ikan, gaul sehingga separa masak. Masukkan santan. Reneh hingga mendidih. Masukkan sayur, cili dan bawang besar. Siap!

Perkataan Arab:
Idahm - kari
Samak - ikan

Ma'amul - sejenis kuih berinti diselaputi kelapa parut... sedaap

(Dah sudah makan, masing-masing tersandar kekenyangan)