Iklan

Selasa, Disember 28, 2010

Memperbetulkan Sembahyang Orang yang Tersalah Arah Kiblat

Tanyalah Ustaz di TV9 (oleh Ustaz Amin, 28 Dis. 2010) membicarakan permasalahan Kiblat.

Baitul Haram - Kiblat kita

Hukum belajar mencari arah Kiblat adalah wajib, sama seperti wajibnya belajar mengambil wudhu'. Asasnya; ilmu arah mata angin (timur, barat, utara dan selatan) dan ilmu alam (geografi). Arah mata angin boleh diketahui menggunakan kompas, matahari atau bintang. Atau, kalau sudah ada internet, rujuk QiblaLocator.

Apa yang menarik perhatian saya, Ustaz Amin memberitahu, kita boleh membetulkan kiblat orang yang sedang bersembahyang tanpa membatalkan sembahyangnya. Syaratnya, orang yang membetulkan, dan orang yang diperbetulkan perlu tahu kaedahnya.

Katalah, ada tetamu yang bertandang ke rumah kita, dan tatkala dia bersembahyang, kita dapati arah kiblatnya salah. Biasanya, kalau keadaan itu berlaku, kita akan beritahu secara lisan, "Kiblat salah!" dan si pelaku kenalah bersembahyang semula.

Jadi, bagaimana caranya?

1. Hampiri orang yang bersembahyang sambil menyebut "Subhanallah!"

2. Pegang bahu orang yang bersembahyang, dan gerakkan ke arah Kiblat yang betul.

3. Orang yang bersembahyang teruskan sembahyang menghadap arah baru itu.

Mudah sahaja bukan.

Jumaat, Ogos 21, 2009

RAMADHAN KAREEM

Poster 3 Doa Mustajab, Ratuhati.com! ;
Imej flickr; Design oleh Ratuhati.com/>

Teringat menyambut ramadhan di Arab Saudi. uh uh...

Sendiri

Jalan kaki

Terik dan bahang

Mencari juadah iftar

Ahad, Julai 12, 2009

39 tahun, 38 tahun menuju 40 tahun... uihss!

Sehari dua ini, bertalu juga saya menerima ucap selamat hari lahir dari rakan taulan dan sanak handai. Terima kasih semua...

Dua bulan yang lalu, saya menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-39, tetapi hari ini saya diingatkan tentang ulang tahun kelahiran yang ke-38 pula. Ha... Ha... Muda setahun saya. Mengapa begitu? Tahun Hijri bergerak lebih pantas dari tahun Masihi. Setiap 32 tahun Masihi, ada satu tahun Hijri tambahan. Kalendar mana yang hendak digunakan? Hm... Di Malaysia, secara rasminya kita menggunakan kalendar Masihi, kalendar Hijri hanya untuk hal-hal yang bersangkutan dengan Islam seperti puasa dan raya. Heh he...

Di Arab Saudi, mereka ada 'tiga' kalendar. Kalendar rasmi adalah kalendar Hijri. Semua urusan rasmi guna tarikh hijriyah. Rujukannya adalah kalendar yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan. Kalendar Masihi dugunakan dengan meluas tetapi tidak terpakai dalam urusan rasmi atau perundangan. Kalendar yang ketiga, juga kalendar Hijri, tetapi yang bersangkutan dengan urusan agama Islam.

Kita tahu, kalendar lunar sangat bergantung kepada keterlihatan anak bulan. Tarikh puasa, aidil fitri dan haji ditentukan secara ini. Ia berubah mengikut keadaan semasa. Walaupun kiraan telah dibuat, ia tidak sama di seluruh dunia kerana tarikh Hijri tidak ada Garisan Meridian Greenwich. Tempat bermula sesuatu hari, sentiasa berubah mengikut kedudukan anak bulan.

Tetapi, urusan rasmi, terutamanya yang soal perundangan, tidak boleh berubah-ubah. Ia perlu seragam. Sebab itu, kalendar Hijri rasmi diterbitkan untuk urusan rasmi. Untuk urusan agama, kalendar itu diubah mengikut keadaan semasa.

Eh, ke situ pula. Jadi sebenarnya, saya ini 39 atau 38?

Tapi, yang paling awal mengirim kad ucapan dan menghantar sms, tentulah badan-badan korporat yang saya langgani perkhidmatan mereka. Tapi, tentulah kita tahu, ucapan dari badan korporat ini tentulah sekadar basa-basi, tiada makna tambahan, selain vaucer diskaun atau kupon hadiah... AlhamdulilLah...

40's is just lurking around the corner... Have I been whom I'm supposed to be? A question that I couldn't make up my mind to answer. Have I or Have not I...

Jumaat, Julai 10, 2009

Cicak, Anak-Anak dan Malam Jumaat

Semenjak kebelakangan ini, kerap pula cicak di rumahku keluar dari pusat persembunyiannya. Apakah kerana mereka sudah dewasa? Apakah kerana aku selama ini buat tidak endah kehadiran mereka, mereka jadi kurang ajar?

Hampir enam tahun mendiami rumah ini, cicak-cicak mula berani menunjuk muka, menjalari dinding dan siling rumah. Dan anak-anakkulah yang terlebih 'excited'nya, hinggakan tidak mahu turun dari kerusi, menunjuk-nunjuk cicak di dinding.

Suruh tidur pun mahu berteman. Takut barangkali, cicak datang merayap ke badan tatkala dia tidur sendirian.

Kakak, kakak kan dah besar. Siapa lagi besar, kakak ke cicak.

Kakak lagi besar.

Sekali kakak tampar cicak tu, terus dia mati.

Ha'ah, cicak tu kecik aje.

Dah, babah nak sembahyang.

Tak nak! Nanti cicak tu tuwon (turun)

Hmph...



Macamanalah aku nak kasi mati cicak-cicak ni?

Dulu, masa kanak-kanak, kami buat lastik besar, guna menembak cicak-cicak di siling surau. Aktiviti mula lepas baca Yaa Sin, pada malam Jumaat. Malam Jumaat malam cuti mengaji. Sementara menunggu Isya', cicak-cicaklah yang kami hadap.

Kadang-kadang terasa kejam pula. Bukankah cicak juga makhluk Tuhan? Bukankah cicak tolong kurangkan bilangan nyamuk dan serangga-serangga lain.

Tapi, siapalah kita untuk menentukan yang zahir, mahupun yang batin. Sedang yang nyata terlihat tidak terketahuan benar atau lakonan, inikan pula yang masih belum tersingkap rahsianya.

Mungkin saintis Islam boleh kaji, kenapa agaknya Nabi suruh kita bunuh cicak. Mudarat sangatkah haiwan ini?

Hadis 2094 jilid 4 Muslim
Dari Amir bin Saad dari bapanya (Saad bin Abi Waqasy) r.a. katanya "Sesungguhnya Nabi s.a.w. Telah memerintahkan supaya membunuh cicak dan baginda menamakanya Si Penjahat Kecil -- Fuwaisiqan."

Hadis 2095 jilid 4 Muslim
Dari Abu Hurairah r.a. Nabi s.a.w. bersabda "Siapa yang membunuh cicak satu kali pukul ditulis baginya pahala seratus hasanah. Siapa yang membunuhnya dua kali pukul, pahalanya kurang dari itu. Dan siapa yang membunuhnya tiga kali pukul, pahalanya kurang lagi dari itu”

Petikan hadis diambil dari sepaku.net.

Khamis, Jun 18, 2009

Saya ingin jadi PENULIS?

Dulu, masa zaman sekolah dulu, menjadi Penulis merupakan salah satu impian saya.

Tapi, saya tidak belajar untuk jadi penulis. Sangka saya, menulis itu sekadar mengeluarkan apa yang terlintas dalam fikiran. Menceritakan apa yang tergambar, menerangkan apa yang terucap, dalam hati.

Rupanya, itu cuma menulis, belum sampai tahap Penulis.

Dua tiga kali saya cuba, masih belum selesai usaha memaparkan penuh cerita yang ingin dicipta. saya belum berjaya menjadi Penulis... Itu sangkaan saya.

Oh, hari-hari pun saya menulis juga rupanya.

Laporan ini, kertas cadangan itu... Semua kena hantar, boss nak tengok dan baca. Kemudian simpan dalam fail. Nanti, kalau ada sesiapa yang ingin buat rujukan, akan baca laporan yang saya tulis. Saya dibayar gaji untuk menyediakan tulisan-tulisan itu.

Tapi saya bukan Penulis! Bahan teknikal yang saya tulis memang keperluan kerja saya dalam bidang pengurusan jaminan kualiti. Banyak menulis bukan bermakna saya Penulis...

Mungkin, suatu hari nanti...

Sebelum tu, nak cari, seni-seni menulis.