Iklan

Isnin, Julai 14, 2008

Harga Minyak Naik Lagi

Jumaat lalu, 11 Julai 2008, harga minyak mentah di Pasaran Hadapan Brent, London melonjak mencecah paras tertinggi USD147 setong, lebih 700% berbanding dengan harga biasanya sepuluh tahun lalu. Mungkinkah harga petrol di Malaysia akan dinaikkan lagi? Jangkanya, harga minyak mentah akan terus naik sehingga ke paras USD170 setong.

Nilai matawang Amerika Syarikat juga masih goyah. Ekonominya tidak menentu. Kadar inflasi yang meningkat sukar disekat kerana dibimbangi akan turut menyekat pertumbuhan ekonominya yang malap.

Harga minyak mentah yang tinggi dan kesuraman ekonomi Amerika Syarikat, ditambah pula dengan peningkatan harga makanan, dijangka akan menjadi punca kelembapan aktiviti ekonomi dunia. Memanglah tidak bagus untuk kita terlalu memikirkan perkara-perkara yang bersifat negatif, tetapi kita juga tidak boleh lupa untuk menyediakan persiapan yang cukup untuk menghadapi hari-hari yang dijangka sukar.

Lantas, payung apakah yang perlu disediakan hari ini? Bagi kami yang berkerja di Arab Saudi ini, kejatuhan USD yang berterusan akan menyebabkan pendapatan kami berkurang. Harga makanan yang meningkat pula akan menaikkan kos sara hidup kami di sini.

Ada rakan menyarankan kami menukar gaji yang kami perolehi kepada RM. Ada juga yang lebih yakin terhadap Euro. Tidak keterlaluan jika dikatakan, emas merupakan simpanan terbaik untuk jangka panjang. Harganya sentiasa naik, dan jika turun pun, hanya bersifat sementara. Ini semua merupakan langkah-langkah yang boleh mempastikan, wang yang kita perolehi hari ini akan mempunyai nilai atau kuasa beli yang stabil untuk digunakan pada hari mendatang.

Pun begitu, ada juga yang masih yakin dengan USD. Pihak berkuasa Amerika Syarikat dikatakan akan menggandakan usaha mengukuhkan matawangnya menjelang bulan Sembilan nanti. Ketibaan pilihanraya Presiden pada bulan Sebelas pula dilihat dapat menjadi pemangkin pertumbuhan positif ekonomi negara itu, dengan Obama dari Parti Demokrat sebagai calon kesukaan ramai.

Sebenarnya, ada satu lagi petunjuk yang perlu kita, umat Islam jenguk dan kaji tentang fenomena yang sedang kita hadapi ini. Banyak kiasan dan ibarat yang terkandung di dalam Quran dan Hadis tentang peristiwa akhir zaman. Kita tunggu cerdik pandai agama dan ekonomi kita tampil dengan tafsiran yang jitu, yang dapat membantu kita membuat keputusan yang bijak.

WaLlahu'alam...

Tiada ulasan: