Assalamualaikum anak-anak Babah yang Babah rindui selalu, semoga berada di dalam peliharaan dan keberkatan Allah hendaknya.
Semalam, Babah pergi usrah di IDB Housing Compound. Memang setiap minggu, orang Malaysia di Jeddah ini yang berkelapangan (lapang hati, lapang masa mahupun lapang harta) akan berkumpul dan sama-sama belajar ilmu agama. Tempat usrah biasanya disilih-ganti di kalangan ahli, tetapi bulan Julai ini nampaknya, kekal kami berusrah di IDB Housing Compound ini.
Kami baca Yaa Sin sesudah solat maghrib, berkongsi sedih dengan Tuan Hj. Ahmad Husni, Pengarah Tourism Malaysia-Jeddah. Ayahnya meninggal dunia. Lepas itu, Ustaz Taib buka kitab, bicara tentang sembahyang. Kalau tidak silap Babah, kitab karangan Daud Fattani, ulama' sohor di tanah air kita suatu masa dahulu.
Memang dah kerap kali Babah belajar sembahyang, sejak babah kecil dulu lagi. Tapi kali ini ada beberapa perkara yang dikatakan oleh Daud Fattani yang suka Babah nak kongsi dengan anak-anak Babah:
- Jadikan sembahyang itu satu keperluan, bukan setakat kefardhuan. Kalau kita sembahyang sebab Allah suruh, tentu kadang-kadang kita rasa berat nak sembahyang (sebab iman tak cukup kuat). Tapi, kalau kita merasai sembahayang itu satu keperluan untuk kita -- seperti perlunya kita kepada makanan, kepada pakaian -- sudah tentu kita tidak mahu tinggal sembahyang selalu.
- Kata ustaz tu lagi, kita bukan setakat perlu menghidupkan sembahyang, tetapi perlu menyembahyangkan hidup kita. Sembahayang perlu memenuhi hidup kita. Sebagai contoh, sesudah sembahyang zohor, kita perlu ingat yang kita akan sembahyang asar. Jadi, sepanjang masa, kita sentiasa ingat akan sembahayang yang bakal kita tunaikan, selagi kita bernafas di bumi Allah ini.
- Kekhusyukan sembahyang perlu kita cari. Guru, ustaz-ustazah, ulama' cuma dapat memberi panduan bagaimana kekhusyukan dapat dicapai, tetapi kita sendirilah yang perlu berusaha untuk mencapai makam tersebut.
Sehabis kuliah pendek, rakan-rakan usrah diberi peluang menyampaikan berita dan memberi pandangan tentang perkembangan semasa. Dr. Razley dari OIC bercerita tentang program terbarunya membina atlas inovasi sains dan teknologi di negara-negara Islam.
Saudara Affendi dari Panda pula menceritakan tentang peranannya dalam menyediakan modul dan latihan berbentuk vokasional (peruncitan & jurujual) yang bakal memerlukan ramai jurulatih.
Paling menarik, komen dari Dr. Ghaz dari IDB tentang masa hadapan bangsa Melayu yang suram akibat kebaculan intelektual sedia ada. Baginya, intelek Melayu umpama hamba, takut mengakkan kebanaran, takut hilang keselesaan yang dikecapi hari ini.
Apa-apa pun, untuk anak-anak Babah, Babah doakan untuk satu masa hadapan yang dapat menjamin keselamatan di dunia, dan terutamanya keselamatan di Akhirat.
Amin...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan