Iklan

Rabu, Ogos 20, 2008

CERITA SEBUAH DESA (i)

Di dalam sebuah negeri, ada sebuah desa, jauh terpencil dari gegak gempita dunia. Begitulah sangkaan penduduk-penduduknya.

Kampung itu dihuni oleh rakyat jelata yang pada dasarnya hidup dengan aman dan damai. Tidak ada perang saudara. Tidak ada pembersihan etnik. Mereka secara umumnya, rajin berkerja dan berjaya membangunkan kampung mereka sehingga setanding dengan kampung-kampung lain. Kejayaan mereka seringkali dikaitkan dengan mantan Penghulu, Pak Mat yang sudah hampir sedekad bersara, tetapi masih aktif bersuara.

Pengganti Pak Mat, Che Dol merupakan seorang yang dilihat tenang dan berhati-hati. Pada awal musim dia menjadi Penghulu, rakyat suka dengan dia. Dia membuka lebih banyak ruang untuk rakyat bersuara (atau mungkin dia tidak mampu menutup ruang itu), dan menunjukkan kesungguhan memimpin dengan turun padang menemui rakyat jelata. Pun, selang beberapa ketika, rakyat seakan sedar, yang Che Dol ini, banyak berpura-puranya.

Tenangnya Che Dol buat dia selalu dilihat lelap ketika acara-acara rasmi. Berhati-hatinya Che Dol buat dia dilihat lambat (baca: lembab) membuat dasar-dasar berani yang dapat menangani masalah semasa.

Ada isu-isu pokok yang tidak ditangani dengan baik oleh Che Dol dan kuncu-kuncunya di dalam mentadbir kampung. Harga barang makanan seperti tepung, minyak masak dan beras dibiarkan naik melambung dengan alasan, seluruh dunia mengalami nasib yang serupa. Kemudian, harga bahan bakar pula dilonjakkan sehingga membuat orang-orang kampung sesak nafas.

Projek-projek ekonomi pula dihentikan dengan alasan kekurangan dana. Tempat pelupusan sampah pejal tak dibuat. Jambatan serong ke kampung sebelah dibatalkan. Jalan keretapi merentang kampung juga dihentikan. Padahal, sudah banyak belanja dikeluarkan, merancang dan mengatur persiapan, terutama pada zaman Pak Mat berkuasa dahulu. Ramai juga yang kecewa.

Alih-alih, jalan keretapi akan dibuat semula, tapi cuma separuh kampung sahaja. Kampung belah baruh tak akan dapat rel keretapi baru itu. Padahal, biayanya cuma kurang dua ringgit sahaja dari belanjawan asal. Rakyat jadi pelik.

Alih-alih, banyak khazanah negara habis dibuang menganjur lumba sampan di pantai ceruk. Yang berlumba, semua orang luar. Orang kampung tak mampu nak berluba sampan harga juta-juta tu.

Alih-alih, orang kampung mula nampak sandiwara Che Dol. Orang kampung mula tau, patutla negara tak cukup duit nak buat itu ini, rupanya banyak disalur masuk ke dalam kantung keluarga Che Dol sendiri.

Orang kampung marah. Tapi marah orang kampung setakat itulah. Mana yang rajin, ada jugak yang berdiri tepi jalan, pegang sepanduk membantah. Tapi orang kampung pun ada kerja, takkan nak buang masa sia-sia. Bukan penghulu nak dengar apa yang mereka jerit-pekikkan di tepi jalan tu.

Tapi lama-lama siapa tahan. Che Dol ni pun satu. Sudah nyata orang kampung tahu selindung lakunya, masih lagi mahu pura-pura mulia, macam malaikat. Masih lagi dia cuba bagi gula-gula. Konon dia mahu buat macam Pak Mat.

Pak Mat lain. Pak Mat pandai cakap. Cakap Pak Mat cakap ada hikmat.

- bersambung...

Tiada ulasan: