Iklan

Jumaat, Oktober 31, 2008

Musim Haji Datang Lagi (i)

Musim Umrah (bulan 5) yang lalu, al-Haram sudah penuh. Musim haji kelak, pasti lebih sesak

Tahniah untuk anda yang bakal menunaikan fardu haji tahun ini. Banyak persediaan yang perlu dibuat sebelum sesuatu perjalanan. Apatah lagi jika perjalanan itu melibatkan aktiviti tertentu, di tempat tertentu dan pada waktu yang terhad pula. Itulah haji, bukan satu perjalanan tangkap muat sahaja.

Saya bukanlah orang yang layak untuk menulis tentang haji, tetapi setahun lebih berada di Jazirah Arab membuatkan rakan-rakan mengira, saya sudah cukup tahu untuk menitipkan sedikit sebanyak panduan ketika berada di Tanah Suci ini. Baiklah, apa yang saya tahu, saya kongsilah di sini. Harap-harap, ramailah lagi yang dapat mengongsi pengalaman mereka.

Bermulanya Syawal sebulan yang lalu menandakan bermulanya musim haji untuk tahun ini. Jemaah haji dari serata dunia mulai meninggalkan kampung halaman menuju ke Rumah Allah. Berjuta-juta umat akan berkumpul di sini. Banyak orang , banyaklah ragam. Yang penting, ragam kitalah yang perlu kita jaga dan selia, supaya haji tidak jadi sia-sia.

Untuk mempastikan ragam dan mood kita sejajar dengan matlamat ibadah, eloklah kalau perkara-perkara berikut kita ambilkira:

  1. Persediaan material (harta benda)
  2. Persediaan fizikal (jasmani)
  3. Persediaan emosi (nafsu)
  4. Persediaan ilmu pengetahuan
  5. Persediaan rohani (spiritual)
Wahh! Banyaknya persediaan yang perlu dibuat. Benarlah, Islam itu agama yang syumul. Semua aspek diri terangkum dalam persediaan haji. Itu belum hajinya lagi. Elok juga kalau baca Travelog Haji dari PTS karya Dr. Muhd. Kamil Ibrahim. Pasti banyak panduan dan teladan.

Untuk sekalian haji dan hajah - Selamat Beribadah!

Akan datang: Persediaan material (harta benda)

Tiada ulasan: