Dalam banyak-banyak persediaan untuk pergi haji, barangkali, inilah persediaan yang paling mudah. Mudah kerana semuanya boleh dilihat, boleh dipegang, boleh dicongak. Yang penting, cukup ongkosnya.
Cukup tambang
Apa-apa pun, faktor inilah yang sering jadi penentu. Kalau tidak cukup wang tambang - pergi dan balik - tentulah tidak dapat peluang menunaikan haji. Sumber wang inilah yang perlu diperhatikan. Kalau mahu haji bersih, sumber wangnya pun perlulah bersih.
Cukup bekal dan wang saku
Ini juga mustahak. Manakan tahu, jika tiba-tiba ada keperluan yang mendesak. Tidak perlulah bawa tunai banyak-banyak. Saudi Riyal (SAR) pun bawa sekadar perlu. Apatah pula RM atau USD. Jika mahu mudah, gunakan kad ATM atau kad kredit
- Al-Rajhi - boleh digunakan di ATM Al-Rajhi Saudi, atau
- HSBC - boleh digunakan di ATM SABB (nama berbeza, tapi logo serupa), atau
- kad yang ada CIRRUS atau PLUS - boleh digunakan di mana-mana ATM yang ada tanda perniagaan tersebut, atau
- Kad Kredit - pastikan anda mendapat kebenaran untuk membuat transaksi di luar negara dari penyedia khidmat. Jika tidak, kad anda tidak boleh digunakan di sana.
- Tabung Haji memang menyediakan kemudahan pengeluaran wang, tetapi kemudahan agak terhad (seperti pada waktu dan di premis tertentu sahaja).
- Penting - Sesetengah mesin ATM tidak menerima urusniaga selepas pukul 12.00 malam waktu Malaysia (7.00 malam waktu Saudi).
Bawa bekal yang cukup ini bukan untuk apa, cuma untuk kita lebih tenang beribadat di sana. Tidaklah terganggu penumpuan bila tiba-tiba terpaksa mengeluarkan belanja untuk urusan yang muncul mendadak.
Cukup saraan untuk tanggunganIni pun kena ingatlah juga. Tak mahulah nanti, sedang mahu niat saei, bibik di rumah telefon, susu anak habis. Huh...
Apa-apa pun sebenarnya, pohonlah kecukupan dari Allah. Allah yang menjemput kita bertandang ke Rumah-Nya. Dialah yang mencukupi segala keperluan kita. Duit banyak mana pun, kalau Allah kata tak cukup, tak cukuplah kita.
Semoga Allah mencukupkan segala keperluanku sekeluarga, dunia dan akhirat. Ameen.
... bersambung.
2 ulasan:
Asalamualaikum
Suhu kat mekah dan madinah berapa ya, perlu ke makcik saya bawa jeket bila dia berangkat mengerjakan haji ke sana hujung minggu ni... Tahun lepas saya pernah kesana, Madinah aku kira sejuk, Mekah nyaman macam kat M'sia aje.
Maaf, belum dapat sambung tulis. Rancangnya, akan tulis juga tentang cuaca.
Bulan sebelas, suhu di Madinah boleh turun hingga 10°C, terutamanya pada penghujung malam. Kalau hendak bertahajjud dan berlama-lama di Masjid sekitar waktu subuh, memang perlukan jaket & sarung tangan. Sejuknya, terutama angin, memang kalah Genting & Cameron.
Boleh juga bawa shawl untuk kelubung muka dan lindung telinga. Tapi di Madinah harganya murah, buatan China/India/Pakistan. Janji pandai tawar menawar.
Di Mekah, insyaAllah tidak sesejuk itu.
Catat Ulasan