Iklan

Selasa, November 04, 2008

Musim Haji Datang Lagi (ii) b

... sambungan dari kiriman lalu


Di pinggir Masjid Quba'

Dataran Masjid Nabi - penuh sesak bila Sembahyang Jumaat

PERSEDIAAN MATERIAL (HARTA BENDA)

Bila bicara tentang persediaan kebendaan, tidak boleh tidak, kita kena beringat tentang pakaian. Dan bila berpakaian, di samping menutup aurat, perlulah ia melindungi badan kita dari cuaca.

Sewaktu saya menulis ini, waktu di Madinah ialah 11.00 pagi. Suhunya 19°C, agak mendung dan kebarangkalian hujan adalah 20%. Saya bukan di Madinah, saya lihat ramalan cuaca di Google (kata carian 'madinah weather'). Di Mekah juga mendung. Suhunya 27°C, agak sesuai dengan orang Malaysia.

Menjelang bulan 12 dan 1 nanti, suhu di Madinah akan turun sekitar 10°C. Ini suhu yang akan buat kulit kita kebas, telinga seakan hilang dan jemari terasa kecut. Kesejukan akan sangat terasa selepas tengah malam sehingga ke waktu dhuha. Walaupun matahari sudah terang, sejuk masih terasa, kerana angin gunung yang bertiup. Selain jaket, elok juga kalau ada shawl, dapat mengurangkan kesan sejuk dan angin.

Sarung tangan dan ear muff atau snow cap juga elok untuk melindungi anggota badan terbabit. Kalau tak mahu bawa, boleh saja beli di Madinah. Tidaklah mahal sangat. Lepas guna, boleh terus sedekah kepada orang lain. Maklumlah, cuma di Madinah saja yang dinginnya seakan mencengkam.

Udara pula kering. Kalau tidak tahan, kulit akan terasa gatal-gatal. Perlu banyak minum air dan jus untuk mengekalkan kandungan air dan electrolytes badan. Untuk mengurangkan kesan kulit kering dan mengelakkan kegatalan, saya suka guna petroleum gel (contohnya vasoline), kurang kesan alahan. Losyen yang dijual di sini, walaupun jenama Johnson & Johnson, tidak sesuai dengan kulit saya.

Kadang-kadang, ribut pasir melanda. Partikel habuknya sangat halus dan merbahaya untuk kesihatan paru-paru kita. Wajib guna topeng udara jika perlu keluar bilik.

Selalunya, cuaca di sini cerah. Walaupun udara dingin, matahari tetap memancar terik kerana ketiadaan awan. Untuk jaga kesihatan mata, elok juga guna cermin mata gelap dengan penapis UV. Awas, jangan guna yang tiruan. Ia akan menjejaskan kesihatan mata dengan lebih teruk.

Lebih baik tidak pakai sunglasses daripada pakai yang palsu. Kenapa? Anak mata kita akan mengecil bila terang, jadi kuranglah sinaran UV yang memasuki mata. Dengan sunglasses, kita tidak silau, dan anak mata kita juga tidak mengecil. Tanpa penapis UV, jumlah sinaran UV yang memasuki mata kita akan jadi berganda.

Apa-apa pun, tumpuan perlu diberi kepada ibadah yang dilakukan. Anggaplah segala kesusahan yang dihadapi sepanjang perjalanan sebagai ujian penguat iman dan keyakinan. Selamat menziarahi Nabi dan sahanat-sahabatnya.

Peringatan: Jika anda mahu membawa bahan-bahan dalam bentuk cecair atau gel (seperti minyak wangi, losyen, krim mandi dan seumpamanya) pastikan ia dimasukkan ke dalam checked-in luggage. Jika hand carry, ia tidak boleh melebihi satu liter keseluruhannya dan perlu dimasukkan ke dalam beg plastik lutsinar khas yang boleh didapati dikaunter pertanyaan lapangan terbang atau tanyakan pegawai Tabung Haji yang bertugas. Boleh lihat panduan di sini.

Tiada ulasan: