Iklan

Khamis, November 27, 2008

Musim Haji Datang Lagi (iii)

Sambung semula. Last post: Nov. 4, uih, lebih tiga minggu terlewat.

Oops, jangan tertipu. Ini gambar sesudah musim haji tahun lalu, bila majoriti jemaah haji sudah pulang ke negara masing-masing.

PERSEDIAAN JASMANI

Tidak dapat dinafikan, ibadah haji menuntut kekuatan fizikal dan mental. Dengan orang berduyun-duyun, dengan cuaca panas terik, dengan kedudukan satu tempat ke satu tempat yang agak jauh - jemaah haji perlu juga mempersiapkan kekuatan jasmani.

Yang terlebih berat badan; kurang-kurangkan, takut cepat termengah-mengah, sakit kaki, sakit sendi. Yang kurus tak bertenaga pula; eloklah tambah pengambilan kalori, buat bersaing dan berlumba mengejar saf pertama.


Gambar-gambar berikut, chilok ehsan dari en. kamitaken

Ini gambar di luar al-Haram. Melimpah ruah jemaah. Tapi sebenarnya, memang ramai jemaah yang sengaja memilih untuk bersembahyang di luar masjid. Kalau masuk dalam, masih ada ruang. Ikut kemahuan dan rezekilah.


Ini pula lorong dari hotel-hotel menuju ke al-Haram. Setaip kali, sejam sebelum masuk waktu sembahyang, beginilah keadaannya. Berjejal-jejal orang berbondong-bondong menuju ke masjid. Dah sudah sembahyang lain pula ceritanya. Berduyun-duyun pula keluar, sambil menyinggah membeli-belah. Itu belum kira lagi penjaja haram tanpa lesen dan peminta sedekah yang bersepah menghalang laluan.


Bukanlah perlu berlatih bersungguh-sungguh macam hendak bertanding sukan. Cukuplah sekadar sihat dan kuat tubuh badan untuk menyahut cabaran haji. Tidaklah nanti, dalam orang lain berebut-rebut beribadah, kita pula memilih untuk berehat di bilik. Tidakkah rugi, sedang belanja biaya yang diinfak bukan sedikit.

Yang kurang sihat pula, kalau perlu mengambil ubat, janganlah lupa dengan keperluan jasmani. Bagi yang perlu menjalani hemodialisis, hospital kerajaan di Mekah dan Madinah menyediakan kemudahan hebat, selesa dan percuma. Tapi musim haji, tentu penuh sesak.

Satu faktor lagi yang tidak boleh gagal untuk diambilkira, pohonlah kekuatan, kesihatan dan kemudahan dari yang menjemput kita bertandang ke Rumah-Nya. Kalau Dia nak bagi, yang lumpuh pun boleh berjalan. Janganlah lupa untuk meminta. Dia memang Maha Pemurah dan Maha Memberi.

Ila liqa', ma'a salaamah...

Rabu, November 26, 2008

ATM di Arab Saudi

Samba apa saja... Oops, Saudi American Bank

Saudi France Bank... eh, eh, bank asing lagi?

Bersiar-siar di Arab Saudi, pasti terserempak pondok-pondok kecil (kiosks) sebegini. Ada yang jual air, ais krim, makanan segera dan, seperti yang ini, mesin pengeluar wang automatik.

Berurusan juga mudah, cuma pandu lalu. Al-maklumlah, di sini panas, dan orangnya pula malas-malas, jadi tak perlulah keluar kereta untuk membuat urusan kecil. Tak perlu cari parking. Keselamatan pun lebih terjamin.

Kalau keluar wang, minima SR100. Kalau di Malaysiakan, boleh keluar RM10, terutamanaya bila hujung bulan dananya sudah susut. Masa belajar dulu, sekali keluar RM20 atau RM30, tahan seminggu dua. Tapi sekarang, RM10 boleh buat beli apa ya? Bolehlah makan tengahari sekali, campur minum petang barangkali.

Maksimanya SR5000. Di ATM Malaysia, maksima pengeluaran satu transaksi cuma RM1000, atau RM1500 untuk bank-bank tertentu. Nak keluar RM5000, kena buat empat lima kali. Penat orang belakang tunggu. Hmmm... Tapi elok juga, kalau kad dicuri orang (berserta pinnya), payahlah dia nak keluar banyak sekali harung).


ATM kena bom? Ni kat Pucong.

Yang bagusnya ATM terbuka begini, orang susah nak rompak atau pasang bom mercun. Mana taknya, kalau nak buat jahat, semua orang yang lalu lalang, atau yang berkerja berhampiran boleh nampak. Belum sempat buat apa-apa, polis sudah mari. Itu belum masuk CCTV yang memang terpasang.

Cuma itulah, kalau hujan dan angin kuat, tentu basah mesin tu. Kenalah buat water proofing pula. Tapi rasanya, kalau bank-bank Malaysia nak buat konsep begini pun elok juga. Kurang sikit risiko ATM dibom.

Apa-apa pun, di Arab Saudi ni, hukuman pencuri potong tangan. Mungkin kalau Malaysia laksanakan hukum serupa, orang nak mencuri fikir beratus-ratus kali sebelum buat.

Lu fikir-fikirlah sendiri... pinjam ayat siapa ni, ek?

Selasa, November 18, 2008

Adik Abrahaem Noah

Berita penuh di Harian Metro

Inilah harga kecuaian. Kalau ada pengusaha pusat jagaan kanak-kanak, sila-silalah ambil perhatian.

Saya cadangkan semua pusat jagaan kanak-kanak, perlu ada pentauliahan kalau mahu terus beroperasi. Tak kiralah ISO 9001 ke, MS 1900 ke, apa ke; tapi yang penting perlu ada prosedur dan peringatan keselamatan terpampang sepanjang masa. Mereka berurusan dengan nyawa, bukan barang!

Anak 4 bulan menyusu perlu dipangku. Lepas itu perlu disendawakan. Mudah saja.

Ini bukan setakat salah pengasuh, bukan setakat silap penjaga. Mungkin seumur hidup mereka diburu penyesalan. Tapi cukupkah?

Ini kecacatan sistem yang mengizinkan kecuaian berlaku.

Herannya, kenapa Jabatan Kebajikan Masyarakat masih tidak memperketatkan/ memperuatkuasakan pemantauan. Selalu sangat.

Sampai bila agaknya kita akan 'hidup' dalam mentaliti kelas ketiga...

Selasa, November 04, 2008

Musim Haji Datang Lagi (ii) b

... sambungan dari kiriman lalu


Di pinggir Masjid Quba'

Dataran Masjid Nabi - penuh sesak bila Sembahyang Jumaat

PERSEDIAAN MATERIAL (HARTA BENDA)

Bila bicara tentang persediaan kebendaan, tidak boleh tidak, kita kena beringat tentang pakaian. Dan bila berpakaian, di samping menutup aurat, perlulah ia melindungi badan kita dari cuaca.

Sewaktu saya menulis ini, waktu di Madinah ialah 11.00 pagi. Suhunya 19°C, agak mendung dan kebarangkalian hujan adalah 20%. Saya bukan di Madinah, saya lihat ramalan cuaca di Google (kata carian 'madinah weather'). Di Mekah juga mendung. Suhunya 27°C, agak sesuai dengan orang Malaysia.

Menjelang bulan 12 dan 1 nanti, suhu di Madinah akan turun sekitar 10°C. Ini suhu yang akan buat kulit kita kebas, telinga seakan hilang dan jemari terasa kecut. Kesejukan akan sangat terasa selepas tengah malam sehingga ke waktu dhuha. Walaupun matahari sudah terang, sejuk masih terasa, kerana angin gunung yang bertiup. Selain jaket, elok juga kalau ada shawl, dapat mengurangkan kesan sejuk dan angin.

Sarung tangan dan ear muff atau snow cap juga elok untuk melindungi anggota badan terbabit. Kalau tak mahu bawa, boleh saja beli di Madinah. Tidaklah mahal sangat. Lepas guna, boleh terus sedekah kepada orang lain. Maklumlah, cuma di Madinah saja yang dinginnya seakan mencengkam.

Udara pula kering. Kalau tidak tahan, kulit akan terasa gatal-gatal. Perlu banyak minum air dan jus untuk mengekalkan kandungan air dan electrolytes badan. Untuk mengurangkan kesan kulit kering dan mengelakkan kegatalan, saya suka guna petroleum gel (contohnya vasoline), kurang kesan alahan. Losyen yang dijual di sini, walaupun jenama Johnson & Johnson, tidak sesuai dengan kulit saya.

Kadang-kadang, ribut pasir melanda. Partikel habuknya sangat halus dan merbahaya untuk kesihatan paru-paru kita. Wajib guna topeng udara jika perlu keluar bilik.

Selalunya, cuaca di sini cerah. Walaupun udara dingin, matahari tetap memancar terik kerana ketiadaan awan. Untuk jaga kesihatan mata, elok juga guna cermin mata gelap dengan penapis UV. Awas, jangan guna yang tiruan. Ia akan menjejaskan kesihatan mata dengan lebih teruk.

Lebih baik tidak pakai sunglasses daripada pakai yang palsu. Kenapa? Anak mata kita akan mengecil bila terang, jadi kuranglah sinaran UV yang memasuki mata. Dengan sunglasses, kita tidak silau, dan anak mata kita juga tidak mengecil. Tanpa penapis UV, jumlah sinaran UV yang memasuki mata kita akan jadi berganda.

Apa-apa pun, tumpuan perlu diberi kepada ibadah yang dilakukan. Anggaplah segala kesusahan yang dihadapi sepanjang perjalanan sebagai ujian penguat iman dan keyakinan. Selamat menziarahi Nabi dan sahanat-sahabatnya.

Peringatan: Jika anda mahu membawa bahan-bahan dalam bentuk cecair atau gel (seperti minyak wangi, losyen, krim mandi dan seumpamanya) pastikan ia dimasukkan ke dalam checked-in luggage. Jika hand carry, ia tidak boleh melebihi satu liter keseluruhannya dan perlu dimasukkan ke dalam beg plastik lutsinar khas yang boleh didapati dikaunter pertanyaan lapangan terbang atau tanyakan pegawai Tabung Haji yang bertugas. Boleh lihat panduan di sini.