Iklan

Rabu, November 28, 2007

Terlonta Di Tanah Al-Khobar

...Al-Khobar maksudnya berita, news. Di Malaysia di sebut khabar. Sejarah tempat ini, saya tidak pasti, tidak sempat menjejak dan menggali usulnya. Barangkali, dari cerita-cerita mulut yang di dengar, di sinilah perkhabaran kemerdekaan Tanah Arab mula-mula diumumkan. Noktah...

Waktu mula mendaftar di kaunter Gulf Air, LTA Sepang, saya sudah dikhabarkan tentang misconnection penerbangan saya dari Bahrain ke Dammam. Pesawat tiba lewat di Sepang, tidak sempat mahu kejar jadual di Bahrain. Saya cuma akan tiba di Dammam pada pukul 2.00 pagi waktu tempatan, bukan 8.30 malam seperti yang direncanakan.

Saya jadi gawat seketika. Bagaimana mahu beritahu orang di Dammam bahawa jadual penerbangan saya sudah berubah? Kesal pula dengan sikap HR yang sambil lewa. Sudah berkali saya minta nombor telefon untuk dihubungi bila tiba di sana kelak.

"Nanti ada orang jemput you kat airport, jangan risau" mudah pula tegasnya. Tidak pula diberi maklumat lanjut. Silap sendiri juga kerana tidak berkeras. Mungkin kerana terlalu sibuk bersiap dan berkemas. Terlalu banyak yang perlu dilunaskan. Dan orang HR yang satu itu pula, juga mungkin terlalu sibuk menguruskan itu dan ini, sehingga terlupa memenuhi permintaan kecil yang seakan remeh.

Rakan seperjalanan saya, Mohd Rosli Ibrahim tentulah mengharapkan saya menguruskan hal ini kerana saya memang sejak asalnya berkerja di Ranhill dan tahu selok-belok urusan kerja di Ranhill. Sedangkan dia baru mengikat kontrak dengan Ranhill untuk projek ini.

Sempat juga saya menghantar sms sebelum menaiki pesawat kepada rakan HR, memberitahu perubahan jadual. Semua terkejar-kejar. Hendak bertelefon pun tidak sempat. Harap-harap, dia akan menghubungi Dammam.

Tetapi, setibanya kami di Manama, Bahrain, kami dimaklumkan jadual perjalanan kami berubah lagi. Kami cuma akan dihantar ke Al-Khobar melalui tambak menggunakan 'shuttle bus'.

Sudah! Bagaimana ini? Telefon mudahalih saya hilang fungsi. Nombor-nombor yang perlu didail untuk menghubungi Malaysia ketika roaming seperti yang diterangkan oleh telefonis Celcom tempoh hari, ternyata tidak membantu. Kami benar-benar buntu. Cuma sms yang dapat dihantar. Pun, tiada balasan diterima. Mungkinkah kerana waktu itu, Malaysia sudah melangkaui dinihari?

TAWAKKAL. Itu jawapan terbaik. Alhamdulillah, kami tidak gugup. Tuhan beri ketenangan pada kami. Walaupun kami sepatutnya risau sebab belum pasti arah tuju, kami tahu, tanah yang kami pijak ini tetap bumi Tuhan, sama dengan Malaysia. Semua milik-Nya. Tambahan pula, di sinilah tempat bersebarnya para Sahabat.

Perut lapar. Di Malaysia tengahari tadi tidak lalu makan. Selera hilang bila mengenangkan keluarga yang bakal ditinggalkan. Dalam kapal terbang pun begitu juga. Teringatkan Iman yang berteriak "Babah! Babah!" waktu bergerak turun ke balai berlepas. Tukar wang RM100, dapatlah hampir BD10 (Bahrain Dinar), setelah ditolak komisyen BD1. Terkedu sebentar. Beli dua sandwich dan dua botol jus, kena BD6. Bila dicongak-congak, RM60 untuk sandwich dan jus untuk dua orang, lagi terkedu. Tak mengapalah, rezeki orang Bahrain memang begini agaknya.

Saya keluar bangunan airport sebentar. Ahh... Udara di sini. Mahu bernafas pun terasa sesak. Bahangnya seperti berada di sisi enjin bas ekspres, sentiasa. Lari ke mana pun serupa; hangat dan suam... Tapi itu cuma perkara kecil

... bersambung ...

Tiada ulasan: