Iklan

Khamis, Jun 26, 2008

Tip-Tip Menghadapi Musim Panas

Dengar khabarnya, lebih empat juta rakyat Arab akan mengunjungi Malaysia pada cuti mucim panas kali ini. Mereka semua lari dari terik mentari yang bakal memanggang kesuluruhan gurun Arab ini. Kami yang berkerja demi memenuhi kehendak tugas, termasuk berpanas dengan suhu melampaui 50°C ini terpaksalah bersiap sedia menempuh cabaran sebegini.

Kanak-kanak dan orang tua berisiko tinggi apabila terdedah kapada kepanasan melampau pada tempoh yang agak panjang.

Antara petua-petua yang perlu diikuti bagi menghindari kecelakaan akibat suhu yang melampau termasuklah:
  1. Pakai pakaian nipis berwarna tanah (kelabu, perang, kusam dan seumpamanya). Elakkan pakaian terlalu gelap atau terlalu terang.
  2. Hindari pancaran mentari berterusan. Cari teduhan dari semasa ke semasa. Tanpa teduhan, badan kita berasa 10°C lebih panas dari suhu yang ditunjuk oleh termometer.
  3. Minum air secara kerap dan berulang untuk menjaga kestabilan kandungan air dalam badan.
  4. Minum jus untuk menjaga kestabilan plasma darah.
  5. Sapu losyen anti sinar UV bila (SPF 15/25) bila perlu berada di luar rumah. Awas, losyen bersifat penebat. Ia boleh menghalang proses pembuangan haba dari badan. Guna bila perlu sahaja.
  6. Kenakan topi, kacamata hitam (berpenapis UV) dan lain-lain kelengkapan yang berciri keselamatan. Ingat, pasir juga boleh membalikkan sinar UV.
  7. Mandi untuk menyejukkan badan.

Tanda-tanda yang perlu diawasi:

  1. Rasa dahaga melampau akibat dehidrasi (kekurangan air dalam badan).
  2. Suhu badan panas mendadak walaupun tidak demam.
  3. Pening-pening, berpinar atau loya.
  4. Muntah.
  5. Pitam atau pengsan.

Apa perlu dibuat bila berlaku kecemasan:

  1. Cari tempat teduh.
  2. Minum air sejuk.
  3. Bantu percepatkan haba keluar dari badan seperti; tanggalkan pakaian, basahkan badan, berendam dalam air sejuk. Awas, jangan berendam dalam ais. Ini akan mengecilkan pembuluh darah dan merencatkan pengaliran haba keluar dari bahagian teras badan dan boleh mengancam nyawa.
  4. Bawa ke hospital atau dapatkan bantuan pakar.

Dengan cuaca panas dan kering, kulit menjadi kering dan mudah alah dan gatal-gatal. Rakan Arab menyarankan supaya kita melumurkan minyak zaitun pada keseluruhan badan, seminggu sekali. Apa-apa pun, cuaca panas bukanlah alasan untuk apa-apa keuzuran. Terutama menjelang Ramadhan pada awal bulan Sembilan nanti, Ramadhan pertama sepenuhnya di dalam musim panas.

Ahad, Jun 22, 2008

Musim Panas Datang lagi

'Summer Solstice' untuk Hemisfera Utara baru saja berlalu pada 20 Jun yang lalu. Solstice bermakna matahari betul-betul berada di atas garisan Sartan (latitud). Cuaca di Jeddah mula membahang. Pukul 8.00 pagi, rata-rata jurutera Malaysia sudah kepanasan di tapak binaan. Suhu seringkali melebihi 40°C.

Teringat sewaktu tiba di Al-Khobar tempohari. Terkejut dengan teriknya panas sehingga menggigit kulit, tambah terkejut bila terpandang termometer yang menunjukkan suhu mencecah 53°C. SubhanAllah, bagaimana manusia boleh hidup dalam iklim yang semelampau ini.

Di Jeddah, walaupun suhunya jarang melangkaui 50°C, tapi kelembapan udaranya sangat tinggi, dikhabarkan kadang-kadang mencecah 100% (http://www.saudiembassy.net/), dengan kabus tebal. Sekarang pun, kalau keluar rumah, sekejap saja tangan sudah rasa melekit-lekit seakan berpeluh, tanda kondensasi.

Di Thuwal ini, menjelang petang sekitar pukul 3.00, cuacanya sudah agak OK. Maklumlah, bayu laut yang agak kencang, sedikit melegakan. Seringnya pula, bayu kencang itu menjadi ribut pasir, terutama menjelang lewat petang. Kami yang pulang dari kerja, terpaksa sangat berhati-hati memandu sejauh lebih 80km ke Jeddah.

Ahad, Jun 08, 2008

Bahan Api dan Makanan

Sudah lama tidak menulis di sini. Banyak yang ingin diceritakan, banyak yang ingin dikongsi. Maklumlah, pengalaman di perantauan pastinya banyak cabaran dan dugaan. Pun, kewajaran untuk menukilkan 'cerita', apatah lagi bila ia melibatkan kesah pihak ketiga, seringkali menambat niat untuk terus menulis di sini. Mungkin, orang ketiga itu tidak suka ceritanya ditulis, dihebahkan untuk tatapan semua. Mungkin, ada aib yang bakal tersingkap. Mungkin, ada hati yang jadi terguris. Bagaimana? Biarlah...

Harga minyak (petrol) di sini kekal 45 Halalah (100 Halalah = 1 Riyal) untuk gred Premium 91. Gred Premium 95 dijual pada harga 65 Halalah. Di Malaysia sudah mencecah RM2.70 seliter. Harga makanan di Malaysia juga sudah naik. Ramai juga yang dengarnya menyalahkan pihak kerajaan dengan kenaikan barangan keperluan utama ini. Harga beras yang dulunya sekitar RM20.00 setiap sekampit sepuluh kilo, kini dijual dengan harga melampaui RM30.00.

Sebenarnya, apa yang dialami oleh Malaysia tidaklah seteruk mana jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Mungkin di Saudi ini, harga petrol masih tidak berubah. Tetapi harga makanan telah melambung berlipat kali ganda. Sewaktu mula tiba di sini, bulan Ogos 2007, sekampit beras sepuluh kilo dijual dengan harga sekitar SR30 hingga SR40, bergantung kepada jenis dan negara pengeluar. Kini, haraganya telah melonjak melebih SR50. Bahkan ada yang menjangkau ratusan riyal.

Trend kenaikan harga dua barangan ini sebenarnya telah bermula sejak dua tahun lalu. Berbagai alasan dikatakan menjadi punca keadaan ini. Kononnya kerana kepesatan ekonomi China dan India menyebabkan permintaan barangan keperluan asas meningkat. Kononnya kerana krisis subprime yang melanda Amerika dan susutnya nilai USD berbanding matawang utama lain. Juga kerana trend semasa yang mengajak pengguna supaya lebih cenderung kepada sumber tenaga alternatif seperti biodiesel.

Tetapi benarkah harga barang-barang ini tidak boleh dikekalkan rendah? Ataukah, sebenarnya memang ada strategi terancang yang merencanakan semua ini, seperti yang berlaku sekitar tahun 1998, apabila matawang negara-negara Asia diserang dan jatuh merudum.

Fenomena atau kemelut apa sebenarnya yang kita hadapi ini?

Kenapa dan siapa yang mendalangi kenaikan harga bahan api dan harga makanan dunia. Mengapa minyak mentah yang biasa berharga sekitar USD20 kini menjadi setinggi USD140? Kononnya, negara-negara OPEC mendapat durian runtuh dari kenaikan ini. Benarkah? Atau memang ada golongan berkepentingan yang sengaja menawarkan harga tinggi untuk minyak mentah, dan kemudian mendapat alasan kukuh untuk menakluk negara-negara pengeluar minyak, dengan alasan untuk berkongsi sumber?

Persoalan-persoalan ini memang berbau konspirasi. Tetapi tidak mustahil, setahun dua lagi kita akan tahu jawapannya.