Iklan

Isnin, Julai 07, 2008

Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 yang Mengharukan

Sedih saya meneliti deraf yang dibentangkan. Entah berapa belanja yang telah dikeluarkan untuk membiayai laporan perancangan itu. Hasilnya sungguh menyayat hati. Kuala Lumpur yang menjadi inspirasi kebanggaan seluruh warga Malaysia, bakal dibangunkan tanpa mengikut aspirasi negara. Setiap inci ruang seakan mahu dikomersilkan. Bila sudah komersil, pastilah perlu berbayar. Lantas, cukupkah saki-baki sumber yang tinggal untuk dikongsi oleh anak cucu kita yang dijangka seramai 2.2 juta pada tahun 2020 nanti?

Yang saya maksudkan bukan sumber minyak mentah yang menjadi serangan spekulasi dunia masa kini. Yang saya maksudkan adalah sumber udara segar (yang boleh juga dikomersilkan dan dispekulasikan suatu masa nanti, sedihkan...). Sebahagian besar kawasan-kawasan hijau yang sememangnya tinggal sedikit di sekitar Kuala Lumpur, terutamanya di lereng-lereng bukit akan dimajukan menjadi kawasan perumahan mewah. Lereng bukit, tentulah tidak boleh bina bangunan tinggi. Cukup sekadar istana dan mahligai. Harganya tentulah tidak sedikit, rakyat biasa tidak mampu singgah. Hendak jengah muka pun silap-silap kena halau. Maklumlah trend sekarang, kawasan perumahan mewah berpagar dan berpengawal.

Siapa yang bakal membayarnya? Tentulah rakyat biasa. Mereka yang kaya ini selesa duduk dilereng bukit. Pokok-pokok masih ada, walaupun tidak sebanyak yang ada sekarang.

Bagaimana pula rakyat biasa yang membayar? Kuala Lumpur bakal kehilangan 'kilang-kilang' pemproses oksigen dengan penerokaan kawasan-kawasan 'semak belukar' ini. Penduduk 2.2 juta. Aktiviti manusia sibuk menggila. Pengeluaran karbon bertambah berlipat kali ganda. Rakyat-rakyat biasa yang tiada 'air-cond' semua, bersiap-siagalah ya...

Di dalam fenomena global sibuk membincangkan tentang 'carbon foot print', pelan struktur Kuala Lumpur sibuk pula hendak merobohkan belukar-belukar sunti yang memang tidak boleh memberi hasil komersil. Mengapa tidak biarkan saja, pokok-pokok kecil itu membersihkan udara kita, melapangkan nafas kita. Mungkin agak 'menyakitkan mata' planner-planner kita, tapi percayalah, lebih semulajadi, tanpa gangguan tangan-tangan manusia, lebih kaya flora dan fauna yang dapat subur membiak di sana.

Sebagai contoh: kawasan Bukit Dinding, satu-satunya bukit yang masih bertahan di KL (kata ketua planner KL pada rancangan yang lalu) akan dibangunkan juga akhirnya. Pembangunan yang diharap dapat mengekalkan sisa-sisa flora & fauna yang ada rupanya meleset sama sekali. Lereng-lereng bukit Dingding bakal dihiasi dengan bungalow-bungalow mewah (lereng yang menghadap AU2 dan menghadap Setiawangsa) dan townhouse (menghadap AU4). Hanya seperlima sahaja yang akan dikekalkan hijau. Pada imej yang saya sertakan, kawasan Bukit Dinding sedia ada ditanda dengan titik-titik dan pelan pembangunannya seperti yang tertera.

Kalau New York dapat kekalkan Central Park, kenapa KL tidak mahu kekalkan satu bukit sahaja. Bukit Nenas sudah tinggal nama sahaja. Bukit Jalil dan Bukit Gasing pun sudah dimajukan. Nampaknya, memang terpaksalah 'dijual' dengan murah bukit-bukit yang ada untuk memenuhi pertambahan penduduk atas nama 'pembangunan'. Saya kata murah sebab, kalau hendak dapatkan balik 'natures' yang ada di situ, memang tidak terbayar.


http://klcityplan2020.dbkl.gov.my
http://klcityplan2020.dbkl.gov.my:81/dcpms/mapform.aspx

Tiada ulasan: