Anak-anak saya tak dihantar nurseri. Hari-hari pun duduk rumah. Bosan agaknya mereka. Tak ada ramai kawan.
Tapi itulah. Banyak benar cerita kurang menarik tentang nurseri ni...
Cerita I:
Rakan isteri saya mengadu, pipi anaknya lebam, jatuh ketika mandi. Sejurus selepas kemalangan, pusat jagaan ada menelefon beliau membuat laporan. Dia yang sedang berkerja, terus mengambil cuti kecemasan dan membawa anaknya ke klinik. Tiada kecederaan serius, AlhamduliLlah. Cuma kesan lebam sahaja di pipi.
Cerita II:
Kawan sekerja saya menerima panggilan kecemasan dari pusat asuhan. Anaknya tiba-tiba demam panas mengigil-gigil. Pengasuh cemas dan tidak tahu hendak buat apa. Maklumlah, baru berkerja dua minggu. Penyelia seakan buat tidak endah. Sibuk! Sibuk!!! Ramai anak lain hendak ditengok...
Sejam dua jugalah dia hendak sampai ke tempat jagaan. Mujur tiada perkara buruk berlaku. Sempat dia bawa ke klinik, masuk ubat ikut punggung, dan uruskan itu ini (dan kemudiannya pergi hospital). Terpaksa pula ambil cuti kecemasan tambahan keesokan harinya.
Juga AlhamduliLlah, masih dapat lihat anak ketawa di depan mata.
Cerita III:
Di suatu pusat jagaan kanak-kanak; tiba-tiba seorang bayi tersedak susu. Segera pengasuh cuba menghubungi ibu bapa. Ahh, nombor ibu tidak ada. Di mana dia berkerja? Ohh... Nombor ayah juga tidak ada? Bagaimana ini?
Tunggulah... Sejam dua lagi mereka datang menjemput anak.
Ibu dan ayah sudah habis kerja, sudah datang ke pusat jagaan. Anak yang mahu dijemput, sudah pergi dahulu menemui Ilahi. InnaliLlah... (
Kakak (3 yo) sudah tahu makna BAHAYA.
Nota - semua cerita I hingga III berlaku minggu ini.
Cerita IV:
Berlaku di nurseri bayangan saya. Ada deposit. Ada yuran pendaftaran. Bayaran bulanannya pun mahal sedikit, lebih 20% dari tempat lain.
Mahu daftar kena beri salinan kad pengenalan ibu bapa, sijil lahir anak, isi borang, tandatangan itu, tandatangn ini, macam-macam lagi. Uhh... Lecehnya.
Di dinding-dinding pula, tidak banyak terpampang lukisan kartun anak-anak, tetapi banyak tulisan tentang panduan dan petua menjaga bayi dan anak kecil. Oh, di tandas pun ditunjukkan cara memegang anak ketika mandi. Betulkah ini rumah asuhan anak? Atau ini rumah belajar menjaga anak!!! Sudahlah aku bayar mahal, mereka ini tidak pandai lagikah?
Di suatu sudut, terpandang jelas arahan tentang langkah-langkah yang perlu diambil ketika kecemasan. Hmmm... Okay kot letak anak kat sini. Tawakkal 'alalLah...
Sedang asyik berkerja, terima panggilan dari pusat jagaan. 'Anak encik demam mengejut. Kami akan bawa ke klinik berhampiran untuk pemeriksaan.'
'Tapi perlu pengesahan penjaga?'
'Encik sudah tanda tangan tempohari, beri kami hak untuk menjaga anak encik pada waktu-waktu begini.'
'Bayaran klinik bagaimana?'
'Kami ada kemudahan kredit di klinik tersebut. Tapi encik kena bayar hujung bulan ini. Jika tidak, deposit encik tempohari akan dipotong.'
'Perlukah saya datang?'
'Ya, untuk lihat anak encik. Tapi kami akan bawa ke klinik atau hospital tanpa menunggu encik.'
'Hospital? Boleh ke awak bawak anak saya ke sana sini? Hospital mana nak bawa?'
...dan panjang lagilah dialognya. Tapi yang penting, kemasylahatan anak menjadi keutamaan. Bukan tidak ada nurseri yang buat begitu, tetapi belum menjadi trend umum dan belum dijadikan sebagai keperluan minima.
Adik, leka bermain dan sering lupa bahaya. Babah terpaksa selalu ingatkan, 'Adik, pandang depan!'
Maaf ya, keselamatan bukan 'add-on'! Walaupun sedikit mahal, tetapi adalah menjadi kewajiban ibu bapa mempastikan anak-anaknya selamat, atau ditempatkan di tempat yang menjamin keselamatan mereka.
Ya Allah Ya Tuhan kami, berikanlah kami keselamatan di dunia dan, lebih-lebih lagi keselamatan di Akhirat...
.sehari sebelum wukuf.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan