Iklan

Jumaat, November 30, 2007

Idahm Samak al-Saudiah (Kari Ikan Saudi) & Kuih Ma'amul (Makmur?)

Hari ini, setelah sekian lama mencari bumbunya, kami dapat merasa kari kepala ikan masakan sendiri. Perencah kari ikan dikirim oleh isteri Rosli melalui rakannya Jamil yang tiba dua hari lalu. Masak sendiri tentulah tidak serupa masakan isteri, apatah lagi masakan ibu. Resepi kari ini mudah saja. Kari orang bujanglah katakan (sesuai untuk hidangan 4-5 orang);

Seekor ikan (apa namanya entah, macam ikan gerut-gerut) berat satu 1.4 kg (harga SR20 sekilo, dibeli di pasar Danube)

Bawang putih enam ulas, bawang merah 8 ulas (dua ulas bawang putih dan tiga ulas bawang merah dimayang/ricih untuk tumisan)

Halba campur rempah yang entah apa-apa entah

Serbuk Kari Ikan Adabi kiriman isteri Rosli 4 sudu besar, serbuk cili 1/2 sudu
Asam jawa setengah genggam (lelaki dewasa)
Santan kelapa dua paket (bancuh dengan dua cawan air suam)
Sayur; tomato, terung dan bendi (kecil-kecil di sini, besar 2 ruas jari kelingking)
Bawang besar seulas, cili merah 3 tangkai Minyak, Garam. Gula sesedap rasa

Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan bawang merah yang diricih sehingga naik aroma. Masukkan halba dan rempah lainnya. Kisar bawang-bawang selebihnya. Guna air asam jawa semasa mengisar. Gaulkan dengan serbuk kari dan serbuk cili. Tumis sehingga terbit minyak. Masukkan ikan, gaul sehingga separa masak. Masukkan santan. Reneh hingga mendidih. Masukkan sayur, cili dan bawang besar. Siap!

Perkataan Arab:
Idahm - kari
Samak - ikan

Ma'amul - sejenis kuih berinti diselaputi kelapa parut... sedaap

(Dah sudah makan, masing-masing tersandar kekenyangan)

Rabu, November 28, 2007

Iman Sudah Boleh Diharap

Anak Babah ini sudah besar rupanya. Baru beberapa bulan Babah titipkan bersama Umi sudah banyak benar lainnya. Lenggok bicaranya sudah berbeza. Ketara sedikit kematangan suara.

Kalau dulu di telefon, Iman akan menyapa "Yoo...," panjang dan beralun. Tapi sehari dua ini, sahutannya sudah menjadi "Llo, bahh," manja seakan memanggil.

Pandai pula dia mengusik Babah yang jauh ini. Iman lukis gambar babah. Iman bacakan buku untuk babah. Rajin pula Iman tolong Uwan sapu rumah. Tapi, buat belon dengan air liur tu, kalau kat tempat awam tak payah lah ya...

(Iman is just slightly over two and a half years old now)

Terlonta Di Tanah Al-Khobar

...Al-Khobar maksudnya berita, news. Di Malaysia di sebut khabar. Sejarah tempat ini, saya tidak pasti, tidak sempat menjejak dan menggali usulnya. Barangkali, dari cerita-cerita mulut yang di dengar, di sinilah perkhabaran kemerdekaan Tanah Arab mula-mula diumumkan. Noktah...

Waktu mula mendaftar di kaunter Gulf Air, LTA Sepang, saya sudah dikhabarkan tentang misconnection penerbangan saya dari Bahrain ke Dammam. Pesawat tiba lewat di Sepang, tidak sempat mahu kejar jadual di Bahrain. Saya cuma akan tiba di Dammam pada pukul 2.00 pagi waktu tempatan, bukan 8.30 malam seperti yang direncanakan.

Saya jadi gawat seketika. Bagaimana mahu beritahu orang di Dammam bahawa jadual penerbangan saya sudah berubah? Kesal pula dengan sikap HR yang sambil lewa. Sudah berkali saya minta nombor telefon untuk dihubungi bila tiba di sana kelak.

"Nanti ada orang jemput you kat airport, jangan risau" mudah pula tegasnya. Tidak pula diberi maklumat lanjut. Silap sendiri juga kerana tidak berkeras. Mungkin kerana terlalu sibuk bersiap dan berkemas. Terlalu banyak yang perlu dilunaskan. Dan orang HR yang satu itu pula, juga mungkin terlalu sibuk menguruskan itu dan ini, sehingga terlupa memenuhi permintaan kecil yang seakan remeh.

Rakan seperjalanan saya, Mohd Rosli Ibrahim tentulah mengharapkan saya menguruskan hal ini kerana saya memang sejak asalnya berkerja di Ranhill dan tahu selok-belok urusan kerja di Ranhill. Sedangkan dia baru mengikat kontrak dengan Ranhill untuk projek ini.

Sempat juga saya menghantar sms sebelum menaiki pesawat kepada rakan HR, memberitahu perubahan jadual. Semua terkejar-kejar. Hendak bertelefon pun tidak sempat. Harap-harap, dia akan menghubungi Dammam.

Tetapi, setibanya kami di Manama, Bahrain, kami dimaklumkan jadual perjalanan kami berubah lagi. Kami cuma akan dihantar ke Al-Khobar melalui tambak menggunakan 'shuttle bus'.

Sudah! Bagaimana ini? Telefon mudahalih saya hilang fungsi. Nombor-nombor yang perlu didail untuk menghubungi Malaysia ketika roaming seperti yang diterangkan oleh telefonis Celcom tempoh hari, ternyata tidak membantu. Kami benar-benar buntu. Cuma sms yang dapat dihantar. Pun, tiada balasan diterima. Mungkinkah kerana waktu itu, Malaysia sudah melangkaui dinihari?

TAWAKKAL. Itu jawapan terbaik. Alhamdulillah, kami tidak gugup. Tuhan beri ketenangan pada kami. Walaupun kami sepatutnya risau sebab belum pasti arah tuju, kami tahu, tanah yang kami pijak ini tetap bumi Tuhan, sama dengan Malaysia. Semua milik-Nya. Tambahan pula, di sinilah tempat bersebarnya para Sahabat.

Perut lapar. Di Malaysia tengahari tadi tidak lalu makan. Selera hilang bila mengenangkan keluarga yang bakal ditinggalkan. Dalam kapal terbang pun begitu juga. Teringatkan Iman yang berteriak "Babah! Babah!" waktu bergerak turun ke balai berlepas. Tukar wang RM100, dapatlah hampir BD10 (Bahrain Dinar), setelah ditolak komisyen BD1. Terkedu sebentar. Beli dua sandwich dan dua botol jus, kena BD6. Bila dicongak-congak, RM60 untuk sandwich dan jus untuk dua orang, lagi terkedu. Tak mengapalah, rezeki orang Bahrain memang begini agaknya.

Saya keluar bangunan airport sebentar. Ahh... Udara di sini. Mahu bernafas pun terasa sesak. Bahangnya seperti berada di sisi enjin bas ekspres, sentiasa. Lari ke mana pun serupa; hangat dan suam... Tapi itu cuma perkara kecil

... bersambung ...

Selasa, November 27, 2007

Cerita Perangkap Tikus

(dikutip dari emel sebaran)

Sepasang petani, suami isteri pulang ke rumah dari pasar. Ketika mereka membuka barang belanja, seekor tikus memerhatikan gelagat mereka sambil menggumam, "Hmmm... Makanan apa lagi mereka bawa kali ini?" Ternyata, hari ini petani membawa pulang perangkap tikus.

Sang Tikus cemas bukan kepalang. Ia bergegas berlarian ke reban dan bertempik, "Ada perangkap tikus di rumah... Di rumah sekarang ada perangkap tikus..."

Ia pun mengadu kepada ayam dan berteriak, "Ada perangkap tikus!"

Sang Ayam berkata, "Tuan Tikus! Aku turut bersedih tapi ia tiada kena-mengena dengan aku."

Sang Tikus lalu pergi menemui Sang Kambing sambil berteriak seperti tadi. Sang Kambing pun jawab selamba, "Aku pun turut bersimpati... Tapi tidak ada yang boleh aku buat. Lagi pun tak ada kena-mengena dengan aku."

Tikus lalu menemui Sapi. Ia mendapat jawaban yang sama. "Maafkan aku. Tapi perangkap tikus tidak berbahaya buat aku sama sekali. Takkanlah sebesar aku ni boleh masuk perangkap tikus."

Dengan rasa kecewa ia pun berlari ke hutan lantas menemui Ular. Sang ular berkata, "Eleh engkau ni... Perangkap Tikus yang sekecil itu tak layak membahayakan aku."

Akhirnya Sang Tikus kembali kerumah dengan pasrah kerana mengetahui ia akan menghadapi bahaya seorang diri.

Suatu malam, pemilik rumah terbangun mendengar bunyi berdetak. Perangkap tikusnya sudah mengena. Ternyata seekor ular berbisa yang jadi mangsa. Ekor ular itu tersepit, membuat ia semakin ganas dan menyerang isteri pemilik rumah. Walaupun Si Suami sempat membunuh ular berbisa tersebut, isterinya cedera teruk.

Si Suami pun membawa isterinya ke hospital. Beberapa hari kemudian isterinya sudah boleh pulang namun masih demam. Isterinya lalu meminta dibuatkan sup cakar ayam untuk mengurangkan demam. Tanpa berfikir panjang Si Suami pun segera menyembelih ayam dan mereneh sup cakar ayam. Pun begitu, sakitnya tidak kunjung reda. Seorang teman menyarankan agar memakan hati kambing. Ia lalu menyembelih kambingnya dan memasak hati kambing untuk isterinya. Masih juga isterinya tidak sembuh-sembuh dan akhirnya meninggal dunia. Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un...

Banyak sungguh orang datang melawat jenazahnya. Kerana rasa sayang suami pada isterinya, tak sampai hati pula dia melihat orang ramai tidak dijamu apa-apa. Tanpa berlengah dia pun menyembelih sapinya untuk orang-orang yang berziarah.

Dari kejauhan... Sang Tikus menatap dengan penuh kesayuan.

Beberapa hari kemudian ia melihat Perangkap Tikus tersebut sudah tidak digunakan lagi.

Suatu hari, ketika anda mendengar seseorang dalam kesusahan dan menyangka itu bukan urusan anda, fikirkanlah sekali lagi.

(untuk amirul; selamat hari lahir, tabahlah menempuh hari-hari mendatang)

Rabu, November 21, 2007

Jenaka-Jenaka Arab Saudi

Berjauhan dari keluarga, cuma teman-teman sekerja menjadi tempat melepas kesah dan lelah. Tekanan datang dari berbagai arah; keluarga yang ditinggalkan, budaya kerja yang berbeza, gaya hidup yang membosankan dan yang paling utama, beban kerja yang seakan tidak mahu sudah-sudah. Isu-isu kecil pun boleh menimbulkan ketegangan.

Banyak cerita-cerita lawak dicipta untuk mengurangkan tekanan. Pun, sering juga lawak-lawak ini, jika sampai ketahuan pihak berkaitan, bakal membibitkan rasa perit yang mengilankan. Saya akan cuba selitkan lelucon-lelucon itu. Harap-harap, tidak ada yang bakal terasa hati.

Dalam banyak-banyak lawak, lawak 3m merupakan yang paling popular waktu kami mula-mula sampai dahulu. Visa yang kami terima berbahasa Arab dan sudah tentulah bertulisan jawi tanpa baris. Rata-rata kami memang buta kayu dalam hal ini. Hari-hari pandang visa tu pun, masih ada maklumat baru yang dapat kami jumpa.

Dan, pada ruang validity (Terjemahan Inggerisnya juga ada, tetapi tidak lengkap) ada tertulis 3m. Secara logik, maksudnya sudah tentulah 3 months. Tetapi bagi jurutera-jurutera ini, 3m itu maknanya 3 meter. Satu dunia pakai begitu.


Validity~3m...

Jadi visa yang kami terima ini, menentusahkan panjang 3m. Woww! Panjang tu... Validity checked by Saudian Embassy.

Kenapa perlu begitu panjang?

Di sini banyak sekatan. Itu tidak boleh, ini tidak dapat. Terutama untuk orang asing seperti kami. Hendak langgan telefon mudah alih (postpaid), tidak boleh. Hendak buka akaun bank, tidak boleh. Hendak kirim duit ke Malaysia, tidak boleh. Hendak pergi ke Bahrain yang seberang tambak itu pun tidak boleh. Visa kami cuma 'single entry'.


Jadi untuk melepasi setiap sekatan, setiap orang perlu potong yang panjang 3m itu. Baru boleh lepas.

Kalau sudah dipotong, tentu panjang berkurang. Bila validity kurang 3m, kena hantar pulangkah, visa tak laku?

Tapi sekarang dunia perubatan sudah moden. Lepas potong terus sambung, jadi panjang kekal melebihi 3m.

...this joke was meant to tease our non-muslim friends who were not circumcised...

Isnin, November 12, 2007

WARISAN

made popular by Sudirman Hj Arshad

di sini lahirnya sebuah cinta
yang murni, abadi, sejati
di sini tersemai cita-cita
bercambah menjadi warisan

andai kuterbuang tak diterima
andai aku disingkirkan
ke mana harus kubawakan
ke mana harus kusemaikan
cinta ini...

bertapak di bumi ini
kumelangkah ke utara selatan
timur dan barat kujejaki

aku bukannya seorang perwira
gagah menghunus senjata
namun hati rela berjuang
walau dengan cara sendiri
demi cinta ini

kuingin kotakan seribu janji
sepanjang kedewasaan ini
kuingin sampaikan pesanan
akulah penyambung warisan

Maaf, tidak ingat siapa pencipta dan penulis liriknya...

Isnin, November 05, 2007

Prolog

Tak sangka, perkara yang saya anggap sebagai 'mencuba nasib', kini terpaksa saya harungi secara rela. Kenapa terpaksa? Kenapa rela? Tanda tanya...

Bila peluang berkerja di Arab Saudi diuar-uarkan melalui emel, saya tidak ambil pusing sangat. Rakan-rakan sibuk bercerita; projek besar, pengalaman antarabangsa, pendapatan lebat, pendedahan hebat... Niat tu memang kuat - Makkah - Madinah - tapi memikirkan anak-anak yang masih kecil, hati jadi berat.

"You're still young. Grab this opportunity..." kata boss saya memberi pandangan. Empat tahun menimba ilmu berkerja, menabur jasa berkerja; hidup seakan tepu. "Open up and bring back the experience..." Tiada halangan bagi pihak Ketua Jabatan.

"Your name's in the list," tegur rakan dari HR suatu hari. Saya terkedu. Masih belum buat keputusan. Masih belum sedia berpisah dengan Iman & Amal yang memerlukan (atau lebih tepatnya, diperlukan). Bagaimana ini?

"Pergilah, kami akan okay..." isteri turut memudahkan. "Iman & Amal masih kecil, mudah menerima perubahan. Ini pun untuk mereka juga."

Apa lagi alasan yang saya ada?

"Itu bumi anbia', pergilah... Sampaikan salam kami yang insya Allah akan menyusul nanti."